Saturday, 6 February 2016

Klimaks Kehidupan, Orang Berjaya

Ramai beranggapan orang yang kaya adalah orang berjaya. Begitu jugalah konon orang yang berpangkat besar, mereka dianggap sebagai orang yang berjaya kerana mempunyai kuasa.

Seandainya soalan begitu ditanya kepada saya, adakah orang-orang kaya dan berkuasa boleh dianggap berjaya, saya akan mengiyakannya sahaja.

Betul.... Mereka yang kaya dan berpangkat besar boleh dianggap sebagai orang-orang yang telah berjaya. Tetapi ingat! Kejayaan sedemikian sementara sahaja sebenarnya. Ia tidak akan kekal selama-lamanya.

Realitinya, mereka yang mengecapi kejayaan sedemikian, kelak akan mati ditelan bumi.

Belum tentu selepas kehidupan duniawi ini, mereka juga mengecapi kejayaan. Belum tentu, memang belum tentu.

Begitu juga mereka yang telah gagal mengecapi kekayaan dan kekuasaan. Mereka bukanlah gagal sepenuhnya dalam kehidupan ini. Kegagalan hidup yang dialami sekarang, belum tentu boleh dianggap sebagai suatu kegagalan. Belum!

Yang gagal sekarang sememangnya masih berpeluang untuk mengecapi kejayaan. Kejayaan yang lebih indah, dan berkekalan. 

Itupun kalau Anda mahu berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukannya, bukan hanya sambil lewa sahaja membuatnya. Untuk Anda menggapai kejayaan yang sebenar-benarnya, perjalanan hidup ini harus mengarah kepada NYA.

Kejayaan selepas kehidupan dunia tiada siapa yang mengetahui, kecuali DIA, Tuhan Maha ESA, Berkuasa di atas segala-galanya. DIA yang Maha Pencipta.

Belum tentu selepas kehidupan duniawi orang-orang yang telah berjaya akan mengecapi kejayaan. Begitu juga orang-orang yang gagal sekarang, belum tentu akan gagal selama-lamanya. Itu realiti yang harus bersama kita sedari.

Namun, suka juga saya memberitahu bahawa orang-orang yang berjaya ada ciri-cirinya. Ia dinyatakan di dalam Kitab Petunjuk Kehidupan manusia iaitu Al-Quran, antaranya ialah;

Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar; maka sesiapa yang berat timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Al--Araf, 7:8)

Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya. (Al-Baqara, 2: 5)

Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya. (Al-Maidah, 5: 100)


Sebenarnya banyak lagi kriteria orang-orang berjaya, yang telah dinyatakan di dalam Kitab Petunjuk Kehidupan itu.

Marilah bersama-sama menyelak helaiannya satu-persatu. In Sha Allah, akan muncullah cahaya NYA untuk menerangi perjalanan kehidupan ini. Sama-samalah kita berdoa, agar kelak tergolong diantara yang Berjaya. Bukan hanya berjaya di dunia, tetapi juga mengecapi kejayaan untuk selama-lamanya, In Sha Allah.

Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu? Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu. Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya. (Al-Araf, 7 :69)

No comments:

Post a Comment