Tuesday, 8 March 2016

Menyubur Kasih Sayang Suami Isteri

Tiba-tiba pula saya terjaga dari tidur tengah malam buta begini. Sebenarnya perut saya terasa sakit dan pedih dek dimasuki angin barangkali. Kebiasaannya bila berlaku seperti ini, akan saya minta bantuan Isteriku Tercinta, untuk menyapukan ubat.

Tetapi disebabkan dia sedang tidur lena di samping anak kami ketika ini, terpaksalah saya melakukannya sendiri. Tidak berupaya pula saya mengejutkan Isteriku Tercinta sekarang ini. Maklum sahajalah, saya amat mengasihi dan menyayanginya. Ada baiknya saya melakukannya sendiri dengan membubuh ubat minyak geliga sambil meyapu rata di atas permukaan perut saya... (*___*)

Alhamdulillah, adalah rasa kelegaan sedikit daripada rasa pedih dan sakit tadi. Oleh kerana saya sudah terjaga ketika ini, amat sukar untuk saya melelapkan mata semula.

Sungguh! Bilamana terjaga dari tidur seperti sekarang ini, sukar untuk saya lelap kembali. Oleh sebab itu, saya mengambil peluang membuat lakaran untuk dikongsi dengan Anda walaupun realitinya perut saya masih belum sembuh sepenuhnya.

Berbalik pada lakaran ini, sebenarnya saya ingin berkongsi satu petua dengan Anda, iaitu kaedah Menyuburkan Kasih Sayang dengan Pasangan, atau mungkin dengan Ibubapa atau dengan Anak-anak.

Sebenarnya petua ini saya sering lakukan. Seperti sekarang ini... walaupun perut saya masih lagi belum sembuh sepenuhnya...

Kebiasaannya bilamana terjaga dari tidur, ada baiknya dilakukan petua ini. Paling bagus kalau didahului dengan bersembahyang tahajjud. Itupun kalau Anda mahu menyiram kasih sayang yang diinginkan dengan keberkatan. Tapi kalau Anda tidak mahu, tak payahlah melakukannya, nanti sia-sia pula masa yang ada. Saya ni pun, sejujurnya bukanlah kerap sangat bersolat tahajjud. Sebab itulah barangkali cahaya Ilahi amat sukar diperolehi, sampai sekarang masih lagi tercari-cari, cahaya NYA.

Untuk melakukan petua yang saya kongsikan ini, caranya ialah dengan merenung wajah Pasangan Anda, wajah Ibubapa Anda atau mungkin wajah Anak-anak Anda yang ingin dititiskan kasih sayang, iaitu semasa mereka sedang tidur dibuai lena...


Renung wajah mereka, dan ingat kembali kebaikan-kebaikan yang telah dilakukan kepada Anda. Usah diingat pula keburukan mereka, nanti tak pasal-pasal bukannya bertambah subur kasih sayang itu, tetapi berkubur pula jadinya.

Bila mana mengingati kebaikan-kebaikan yang dilakukan oleh pasangan Anda, Ibubapa Anda, atau mungkin Anak-Anak Anda, ingatlah sehabis mungkin dan lahirkan di dalam hati sanubari secebis doa kepada Tuhan Penguasa Alam, semoga diberkati perhubungan yang sedang dijalinkan dengan pasangan, Ibubapa atau Anak-Anak.

Lagi bagus kalau kandungan doa itu diisi dengan pengharapan agar perhubungan itu berpanjangan sehingga ke syurga. Paling terkesan lagi andai ada titisan air mata keinsafan mengalir semasa merenung wajah mereka. Moga-moga tercapailah lubuk jiwa yang menyimpan pelbagai rahsia alam yang tersembunyi di dalamnya...

Selitkan juga doa memohon kepada Tuhan Penguasa Alam agar apa yang Anda rasai ketika itu akan dirasai jua oleh pasangan Anda, Ibubapa Anda atau Anak-Anak Anda...

Cubalah rasakan sendiri petua ini. InShaAllah, kelak mengalirlah kasih sayang yang diinginkan. Saya doakan semoga Anda berjaya melakukannya. (^___^)



0 comments :

Post a Comment