Monday, 22 February 2016

Teknik Mencari Jodoh (3)

Kali ini aku memilih beberapa kisah pencarian jodoh setelah aku mempunyai pekerjaan. Moga-moga adalah manafaatnya perkongsian ini untuk dipraktikkan oleh Anda. Berusaha mencari jodoh. Siapa tahu Anda akan berjaya...
Saya doakan...

Sebelum ini aku telah menceritakan kisahku didekati oleh beberapa wanita untuk mengecapi cinta. Peristiwa yang cuba mengoda diriku mendekati cinta sebelum bernikah. Tetapi mujur jugalah, aku tidak berjaya, malahan tidak berkesempatan pun merasainya. (*__*)

Sekiranya Anda bertanya kepadaku mengenai cinta sebelum bernikah, sememangnya aku tidak dapat menjelaskannya secara sempurna kerana aku tidak pernah mengalaminya.

Tetapi jika pertanyaan Anda tentang cinta selepas berumahtangga, mungkin banyak yang boleh aku bicarakan... Sesungguhnya nikmat cinta selepas bernikah melebihi segala-galanya. Sudah tiada batasan untuk pasangan suami isteri mengalirkan perasaan cinta untuk membentuk kesatuan jiwa...

Apa yang aku kongsikan di sini hanyalah sekelumit dari pengalamanku semasa diuji tentang cinta sebelum bernikah. Sejujurnya memang aku menolak usaha-usaha yang dilakukan oleh para wanita untuk mengajak mengecapi cinta sebelum bernikah.

Selain belum bersedia, sememangnya aku telah menetapkan matlamat sendiri untuk tidak menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana wanita sebelum ada ikatan yang sah.

Sememangnya aku lemah dalam soal cinta, sepertimana yang aku telah beritahu kepada Anda sebelum ini. Lebih-lebih lagi cinta yang dijalin sebelum tersimpul rapi ikatannya. Aku takut tertewas dek dorongan para syaitan sebenarnya. Kan aku ini lemah berbanding Anda. (*___*)

Ok lah... untuk pengetahuan Anda, aku memulakan usahaku mencari jodoh setelah menyedari umurku semakin lanjut. Aku memulakan usaha mencari jodoh setelah umurku mencecah angka 31 tahun.

Antara sebab aku akhirnya berusaha mencari-cari jodohku adalah dek tidak tahan dorongan nafsu, ditambah pula menerima pujuk rayu dari para wanita berwajah cantik, manis dan ayu. (^___^)

Wanita bergelar isteri orang juga turut menagih cinta dariku. Selepas isteri orang turut berusaha menagih manisan cinta dariku, akhirnya aku bertekad sungguh-sungguh mencari sedaya mungkin jodohku, agar dugaan dari isteri orang yang bertindak curang dapat aku elakkan.

Alhamdulillah, setelah berusaha, akhirnya aku bertemu jodoh. Itupun setelah umurku hampir-hampir mencecah 32 tahun. Sejujurnya, aku ingin menyatakan kepada Anda bahawa aku merasa amat rugi kerana lewat mengecapi nikmat berumahtangga.

Sungguh! Aku merasa rugi kerana lewat mendirikannya...

Kini, aku ingin menyatakannya kepada Anda, khususnya Anda yang masih hidup berseorangan.....

Kehidupan ini memang terlalu Istimewa bilamana bahtera perkahwinan terbina. Akan aku ceritakannya nanti di pengakhiran kisah-kisahku, untuk direnung-renungkan bersama.

Tetapi sebelum itu, izinkan aku mengisahkan satu teknik pencarian jodoh yang sia-sia. Aku menyatakannya sia-sia kerana aku pernah melaluinya, iaitu dilamar oleh wanita yang memisterikan dirinya.

Barangkali Anda kurang jelas istilah ini, MEMISTERIKAN DIRI. Maksudnya ialah tidak menunjukkan identiti sebenar mereka ketika menagih cinta...

Kalau Anda hendak melakukan usaha seperti itu, sebaiknya lupakanlah sahaja kerana usaha pencarian jodoh begitu adalah sia-sia.

Kisah mengenai wanita misteri menaruh cinta, tetapi meluahkannya secara rahsia-rahsia. Ada beberapa peristiwa seperti ini telah aku alami. Berlaku di awal kehidupanku masih bujang teruna, tetapi sudah bekerjaya....



(Nantilah aku sambung lakaran ini ya...)

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Suami Isteri Curang!... Bhg 10b

Sebentar tadi, saya sedang sibuk membuat persiapan pelbagai keperluan untuk memulakan pengajaran pada semester ini. Minggu ini, proses pengajaran-pembelajaran baharu sahaja bermula. Dalam sibuk-sibuk mencari bahan-bahan berkaitan dengan pengajaran sebentar tadi, tiba-tiba pula saya terbaca artikel mengenai perceraian suami-isteri dan percintaan wanita dengan suami orang.

Wahhh! macam menarik pula kisah ini untuk saya kongsikan dalam blog bsdd Tawau, dalam entri Suami Isteri Curang.


Oleh itu, saya mengambil kesempatan untuk copy & paste sahaja artikel yang saya maksudkan agar dapat dikongsi dengan Anda, sahabat yang saya kasihi kerana DIA.



*****

“Kisah dua orang gadis yang membuat keputusan tidak mahu berkahwin minggu lalu, rasanya satu langkah yang tepat, lebih baik daripada kisah hidup yang saya lalui kini. Rasanya, sayalah wanita paling malang. Sebabnya, dua kali saya melalui kehidupan yang sungguh tertekan dan duduk di bawah telunjuk lelaki. Semuanya kerana terlalu cintakan lelaki, maka hidup saya jadi tak keharuan seperti yang saya lalui sekarang ini.

“Perkahwinan pertama saya gagal setelah lapan tahun berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Kini kedua-duanya bersekolah rendah. Saya bercerai sebab tak sanggup lagi tertipu dengan kerenah suami yang gila bercinta dengan wanita lain. Dia mahukan keseronokan daripada dua wanita, isteri dan kekasihnya.’’ Itu cerita Mysara Huda dalam e-melnya.

“Kerana tak sanggup ditipu, maka saya minta cerai. Awalnya memang suami tak mahu ceraikan saya, tetapi setelah saya sendiri tangkap mereka ketika berjalan menuju ke rumah kekasihnya. Maka dia tak dapat berdalih lantas sanggup ceraikan saya.

“Memang awalnya dia tak mahu ceraikan saya, tetapi setelah kekasihnya memberi kata putus dan muktamad, maka dia tidak ada jalan lain selain menceraikan saya. Sebab pertama nak tutup malu sebab kekasihnya sudah hamil, dan kedua kerana kekasihnya lebih banyak wang daripada dirinya sendiri. Jadi untuk masa depannya lebih terjamun, dia rela berpisah dengan saya dan anak-anak daripada terlepas dengan kekasihnya yang banyak wang dan berpangkat itu.

“Perceraian kami berjalan lancar di mahkamah dan dia sedia memberi nafkah kepada dua orang anak saya serta nafkah edah. Pendek kata, semuanya berjalan lancar. Apa sahaja permintaan saya diberikan tanpa banyak kerenah. Maklum semuanya dibereskan oleh bakal isterinya. Dan wanita itu minta perkahwinannya segera didaftarkan di negeri ini tanpa bertangguh-tangguh lagi. Sebenarnya mereka telah bernikah di luar negara.

“Walaupun semuanya berjalan lancar, tetapi rasa sakit hati saya kerana perbuatan suami yang curang, sampai kini masih terasa. Kalau diikutkan hati mahu saya tembak mereka.

“Tetapi, seperti yang saya katakan saya tak ada jalan untuk marahkan bekas suami, sebab saya diberikan hak ke atas pangsapuri yang baru kami beli, kedua saya juga diberikan kereta selain mendapat nafkah anak-anak. Cuma saya tak mintak mutaah, sebab ketika diceraikan dulu, saya buat permohonan dalam keadaan marah hingga terlupa hak saya.

“Bagaimanapun kata emak jangan minta terlalu banyak. Yang penting saya dapat apa yang saya hendak dan anak-anak diberi nafkah setiap bulan tanpa masalah.

“Nak berebut anak pun tidak. Sebab bekas suami tak berani buka mulut pasal anak jika isteri barunya tak izinkan. Oleh kerana dia memang berminat sangat nak duduk di kondo mewah dan memandu kereta mewah lagi berjenama, maka dia tak kisah pasal nak tengok anak-anak. Hinggalah sekarang setelah lima tahun bercerai, tak pernah sekali bekas suami ambil anak-anak duduk dengan keluarganya sama ada cuti sekolah atau Hari Raya.

“Pandai-pandai sayalah membesarkan mereka. Agaknya dia kata dah dapat duit nafkah jangan ganggu mereka lagi. Seolah-olah anak-anak saya bukan anak-anaknya. Sesekali pernah juga anak-anak bertanyakan ayahnya. Jadi untuk mengelakkan rasa sunyi saya bawa mereka makan angin ketika cuti sekolah atau balik kampung.

“Nak jadikan cerita ketika bercuti ke Cameron Highlands saya bertemu dengan Sham, kira-kira empat tahun lalu. Pertemuan yang tidak sengaja, kerana anak saya tertendang bola ke keretanya menyebabkan kami berkenalan. Mulanya memang nampak muka Sham berubah menahan marah, tetapi setelah saya keluar dari bilik meminta maaf, Sham berubah, memaafkan anak-anak saya lantas kami berbual. Ketika itu isteri dan anak-anaknya keluar beli sayur dan buah-buahan.

“Perkenalan singkat itu membawa kami berkenalan lebih dua tahun, kini hubungan kami lebih daripada kekasih. Di sinilah babak yang menghiris hati saya.

“Sebabnya nak kata kekasih bukan, nak kata isteri kami belum nikah lagi. Tetapi persahabatan kami lebih daripada sepasang kekasih. Inilah yang merunsingkan fikiran saya. Memang saya tak bercadang nak kahwin pada mulanya, tetapi entah mengapa setelah berjumpa Sham, hati saya terbuka mahu berkahwin lagi, maklum umur pun dalam 30-an, masih muda.

“Dulu emak suruh kahwin selepas setahun bercerai, sebab ada orang merisik saya pada emak, tetapi saya tolak. Konon saya sudah berazam hendak besarkan anak-anak, kerana saya lebih sayangkan anak daripada bersuami lagi. Tetapi setelah jumpa Sham hati dan perasaan saya sudah berubah. Entah kenapa saya pun tak tahu.

“Peliknya saya bersedia bermadu, tetapi Sham kata dia belum bersedia, sebab dia masih sayangkan anak-anaknya, dan tak mahu fikiran mereka yang sedang remaja itu terganggu kerana ayahnya kahwin lagi. Kata Sham dia sanggup berkorban jiwa dan perasaannya, demi masa depan dan pelajaran anak-anak supaya tidak tercalar.

Layanan

“Jadi saya mesti menunggu. Kata Sham saya mesti bersabar dua atau tiga tahun sahaja lagi setelah anaknya masuk IPTA atau IPTS. Katanya dia tidak akan sia-siakan harapan dan masa depan saya, sebab dia sayangkan saya, kerana hati dan perasaannya terhadap isterinya sudah lama mati. Mereka terpaksa serumah kerana anak-anak. Itu janji dan permintaan Sham merayu supaya saya menunggunya.

“Kerana terlalu sayangkan Sham, saya punyalah bodoh ikut setiap perintahnya. Bayangkan kalau nak keluar dating pergi makan malam saya mesti memandu sendiri dan tunggu di satu tempat yang ditetapkan jauh dari kawasan rumah kami. Di tempat itu nanti saya akan tunggu Sham datang untuk ambil saya dengan keretanya.

“Kami makan di tempat yang sunyi dan tidak popular jauh dari bandar. Bila tiba di tempat yang ditetapkan Sham masuk dulu ke restoran, kemudian dia akan telefon dan suruh saya masuk. Pernah berlaku Sham menyelinap balik masuk ke kereta dan terus tinggalkan tempat yang sepatutnya kami makan. Alasannya tak sesuai. Tapi saya tahu dia mesti ternampak orang yang mungkin dia kenal di situ. Akhirnya saya makan makanan segera dalam kereta sahaja. Sham cuma minum dan makan kentang goreng. Kesian!

“Itu bab pergi makan, bab membeli pakaian lagi teruk. Boleh dikatakan kebanyakan pakaian saya Sham tak suka. Katanya, warna tak eloklah, kain nampak murah, dan macam-macam. Akhirnya saya kata kalau tak suka belikanlah saya pakaian baru, sebab saya bukan banyak duit nak tukar pakaian mengikut seleranya. Saya berpakaian ikut cara dan pilihan saya.

“Memang sejak berkawan dengan Sham semua pakaian saya dia yang tentukan, tentang warna, fesyen, kesesuaian dengan kasut, beg tangan dan tudung saya. Oleh kerana dia begitu cerewet dengan pakaian saya, maka dia suruh saya beli pakaian baru. Masalahnya, nak beli pakaian bukan senang maklum Sham tak mahu keluar membeli pakaian dengan saya, sebab takut orang kenal dia. Jadi biasanya dia suruh saya pilih pakaian yang saya suka, setelah pilih, Sham datang pilih lagi mengikut seleranya. Kemudian dia bayar dan tinggalkan di kaunter untuk saya bawa balik. Memang susah.

“Tetapi paling mudah kalau Sham pilih beg tangan dan kasut. Dia akan pilih dan bayar sementara saya akan datang ambil, kerana nama saya terlekat di bungkusan tersebut. Atau dia akan tunggu di kaunter jika tidak ramai pelanggan lain di kedai tersebut.

“Pernah saya kata susahnya bercinta dengan suami orang, tapi kata Sham di sinilah terletaknya kemanisan, kemesraan dan kebahagian yang tidak ada bandingannya. Katanya lagi cinta seperti inilah yang akan kekal lama, semakin lama semakin semarak mewangi. Tetapi saya jawab lama-lama bunga yang cantik juga akan kecut dan hilang wanginya. Namun balasnya jika pandai dijaga, dibelai kecantikan dan keharumannya akan kekal lebih lama.

“Tetapi sampai bila saya harus menunggu. Kemesraan, keharuman dan kasih sayang hanya dicurahkan secara curi-curi dan bersembunyi. Satu masa akan tertangkap juga. Saya mohon Sham supaya kami nikah di seberang. Tetapi dia tolak. Emak sering tanya saya bila nak kahwin lagi, saya kata lebih senang hidup sendirian. Tetapi hakikatnya hidup saya sekarang memang orang sudah kahwin, cuma secara rasminya sahaja belum. Apabila bersama Sham memang saya dilayan istimewa lebih daripada isteri. Tetapi untuk tempoh yang amat singkat paling lama dua atau tiga malam. Setelah kembali ke rumah masing-masing. Kami jadi seperti orang asing. Cuma kenangan manis bersamanya meruntun jiwa.

“Walaupun tinggal bersama anak-anak, hidup saya tidak bebas seperti ibu tunggal lain, saya tidak dibenarkan keluar rumah sesuka hati, berjalan, makan angin atau ke mana sahaja tanpa kebenarannya. Semuanya mesti dapat izin Sham terlebih dahulu. Pernah saya katakan bosan dengan cara hidup begini. Saya ingin kahwin segera ikut pilihan emak. Tetapi Sham mencabar, bahawa saya tidak akan bahagia seperti apa yang diberikannya selama ini. Katanya jika bersamanya saya dilayan dan diulit bagaikan ratu. Benar! Tetapi semuanya sementara, saya mahukan yang kekal walaupun berkongsi kasih.

“Sebab setelah kembali ke rumah sendiri, terasa diri seperti patung dipanggil datang, disuruh pergi saya pergi dan di arah saya patuh. Namun untuk keluar daripada cara hidup ini saya tidak berani. Tetapi saya tak nafikan nikmat ini tidak akan kekal. Inilah yang membimbangan, cuma masa menentukan.’’

Itu cerita Mysara Huda yang menunggu entah bila bom meletup atau gempa bumi berlaku. Inilah akibatnya mencintai suami orang.



See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/mencintai-suami-orang-umpama-tunggu-bom-meletup-1.192847#sthash.Ha9SHdiA.dpuf

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Sunday, 21 February 2016

Bosan Melakukan Kerja, Mencari Kehidupan...

Ramai orang cepat berasa bosan bila melakukan pekerjaan yang sama sahaja sepanjang masa. Lebih-lebih lagi hasil kerja yang dilakukan seolah-olah tidak diiktiraf oleh sesiapa. Ia membuatkan perasaan tidak puas hati berlegar-legar di dalam diri sendiri.

Ada kala membara di dalam hati sanubari. Seterusnya bermain-main di minda dan membuatkan pemikiran tidak memfokus pada hasil kerja yang dilakukan.

Ada kala juga, pemikiran lebih terarah mencari pekerjaan yang lain pula. Bila mendapat pekerjaan baharu, sama sahaja sebenarnya. Cepat berasa bosan. Lagi sekali, tidak merasa puas melakukannya. Pada akhirnya, mulalah bermalas-malasan melakukan kerja. Boleh sampai ke tahap tidak mahu lagi melakukannya.

Bagi yang makan gaji, dek hari-hari melakukan pekerjaan yang sama sahaja, dirasakan kerja yang dilakukan amat membosankan. Pada akhirnya, bermalas-malasan. Sampai ke tahap tidak mahu lagi memikirkan hasil kerja yang dilakukan. Lebih terdorong membuat kerja di luar tugasan hakiki. Lebih parah, ponteng datang kerja.

Begitu juga halnya mereka yang bergelar pelajar. Sama ada di sekolah rendah, di sekolah menengah, juga di universiti. Bila ditimpa kebosanan dalam proses pembelajaran, akhirnya lebih terdorong berhibur ke sana-sini. Pembelajaran yang perlu dilakukan sudah tidak dihiraukan lagi.

Berlainan pula bagi mereka yang mencari nafkah sendiri. Berasa bosan bila mana rezeki yang diperolehi seciput sahaja sampai tergamak menipu ke sana-sini.

Air biasa pun dikatakan air berubat mujarab mengubati pelbagai penyakit, walaupun realitinya tiada kajian saintifik membuktikan produk sebegitu rupa boleh menghilangkan penyakit.

Dek ingin menjadi kaya raya, mulalah menjual pelbagai produk yang konon-kononnya berkesan mengubati kesemua penyakit duniawi. Walhal, sebenarnya dia sendiri belum ada keyakinan menggunakannya. Membohong untuk mendapatkan kekayaan dunia yang sementara untuk dikecapi.

Mengapa ini terjadi?

Ponteng datang kerja, ponteng datang sekolah, ponteng datang kuliah, dan lebih parah, berbohong sesama manusia. MasyaAllah!

Kalau tanya saya bagaimana mengubatinya, sememangnya tergaru-garu kepala juga bila diajukan persoalan begitu sebenarnya. Jujur saya beritahu bahawa tiada ubat mujarab yang dapat merawat penyakit sebegitu, kecuali diri sendiri.

Sungguh! diri sendiri sahaja yang berupaya merawatnya dengan melakukan muhasabah diri.

Antara muhasabah yang boleh dilakukan ialah bertanya kepada diri ke mana arah tujuan kehidupan duniawi yang sedang dilalui ketika ini. Menuju kepada NYA atau menjauhi petunjuk NYA.

Ketahuilah bahawa sesungguhnya segala rahsia kehidupan duniawi adalah milik NYA, Tuhan Penguasa Alam Semesta. Tiada kuasa yang lebih hebat selain DIA, iaitu Tuhan Yang ESA, Allah SWT.

Barangkali boleh juga dikatakan kebosanan melakukan pekerjaan adalah didorong oleh nafsu. Nafsu tidak dikemudi sebaiknya. Nafsu dibiarkan membuat dorongan agar mencapai kepuasan di dalam semua perkara.

Nafsu dibiarkan bermaharaja lela mengatasi keupayaan minda sehingga ditimpa mabuk duniawi. Terhoyong hayang berjalan di sepanjang kehidupan dunia. Lupa matlamat hakiki, apa yang ingin dicari dalam kehidupan ini, mengapa ada di dunia ini...

Kehebatan minda dibiarkan lemah untuk menafsir erti kehidupan yang sebenar-benarnya. Pada akhirnya, berasa bosan meneruskan pekerjaan di dalam kehidupan dunia yang bersulamkan pelbagai ujian-ujian dari NYA.

Ada kemungkinan juga disebabkan masih belum memahami matlamat hakiki kehidupan ini, maka terdoronglah menikmati keseronokan kehidupan dunia. Sudah tidak dihiraukan hasil akhirnya. Ke arah mana hendak dituju, sama ada syurga atau neraka.

Ada kemungkinan juga dek sinar keimanan di dalam hati masih belum memancar sepenuhnya. Mengetahui dan menyakini bahawa pada setiap masa ada dua malaikat berperanan mencatat segala pekerjaan duniawi ini. Malaikat yang berperanan mencatat segala kebaikan dan mencatat segala keburukan pekerjaan oleh setiap insan.

Teringat pula saya satu kisah di mana Rasulullah didekati oleh seorang lelaki yang hebat penampilannya. Anda nak tahu kisahnya, teruskan sahaja pembacaan Anda sehingga ke bawah...

Kisah Kehidupan
******************

Pada suatu hari sedang kami duduk di sisi Rasulullah s.a.w. tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang sangat putih kainnya, sangat hitam rambutnya, tidaklah kelihatan atasnya tanda-tanda orang yang sedang dalam perjalanan, dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalinya sehingga dia duduk berdekatan dengan Rasulullah s.a.w. lalu dia menyandarkan kedua-dua lututnya kepada kedua-dua lutut Rasulullah s.a.w. dan meletakkan kedua-dua telapak tangannya ke atas kedua-dua paha Nabi s.a.w.

Kemudian dia berkata: Hai Nabi Muhammad! Khabarkanlah kepadaku darihal Islam. Maka Rasulullah s.a.w. menjawab: Islam itu ialah bahawa engkau mengakui tiada tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau puasa bulan Ramadan, dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi kepadanya. Dia berkata: Benarlah engkau!

Maka kami pun tercengang kerana dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya.

Katanya lagi: Maka khabarkan kepadaku darihal Iman. Rasulullah s.a.w. menjawab: Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah, dan malaikat-Nya, dan segala kitab-Nya, dan para Rasul-Nya, dan engkau beriman pada takdir baik-Nya dan jahat-Nya. Dia berkata: Benarlah engkau!

Kemudian dia bertanya lagi: Maka sekarang khabarkanlah kepadaku darihal Ihsan. Rasulullah s.a.w. menjawab: Ihsan ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Ia melihat engkau...


(HR. Muslim)


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Suami Isteri Curang!... Bhg 10a

Sengaja aku menyambung kisah Suami Isteri Curang pada petang Ahad ini kerana ada kelapangan masa. Aku berehat-rehat sahaja di rumah petang ini sebenarnya. (*__^)

Barangkali ada juga baiknya aku selesaikan sahaja kisah mengenai Suami Isteri Curang sekarang, sebelum aku melanjutkan kisah yang lain pula, khususnya berkenaan usaha-usahaku di dalam pencarian jodoh.

Sememangnya, selepas peristiwa aku diganggu oleh isteri orang buat kali kedua, akhirnya aku telah berusaha bersungguh-sungguh mencari-cari jodohku, selain disebabkan usiaku yang semakin meningkat naik ketika itu...

Oklah, aku sambung sahaja kisahku diganggu oleh Isteri Curang itu.

Sebaik sahaja aku selesai bersalaman dan berkenal-kenalan dengan suaminya di restoran mamak tempat pertemuan kami, akhirnya aku menceritakan dari awal perkenalanku dengan isterinya. Sememangnya aku tidak melepaskan peluang untuk menceritakan dari awal bagaimana aku mula-mula berkenalan dengan isterinya.

Masih aku ingat bila mana aku mengatakan kepadanya bahawa sesungguhnya aku tidak mengetahui perempuan yang menelefonku mula-mula adalah seorang wanita yang sudah bergelar isteri. Memang begitulah aku menyatakan kepadanya kerana isterinya telah menyamar menjadi seorang wanita misteri di awal perkenalan kami. Sungguh! memang aku tidak mengetahuinya….


Sebaik sahaja aku berkata begitu kepadanya, akhirnya dia membalas penjelasanku dengan memberitahu sememangnya keadaan begitu dia fahami. Dia bersetuju kerana isterinya memang tiada tanda di dahi untuk menunjukkan dia sudah ada suami. *&^%

Selepas aku mendengar persetujuannya begitu, akhirnya terfikir juga mengenai kaum india yang menggunakan penanda di dahi berwarna merah sebagai simbol yang mereka sudah bersuamikan seseorang.

Mungkinkah ada baiknya melakukan begitu kepada semua wanita? (@__@)

Entahlah, aku sendiri pun tidak pasti, hanya wanita yang memahami seandainya ada keperluan melakukan begitu. Nak tanya aku, pastilah tiada jawapan dariku... kerana wanita sahaja yang lebih mengetahuinya dan merasainya... (^__*)

Selanjutnya aku memberitahu pula bahawa rahsia kemisterian isterinya akhirnya terbongkar jua bila mana aku terdengar suara seorang kanak-kanak perempuan berhampiran bunyi suaranya di dalam telefon bimbitku. Aku memaksanya berterus terang siapakah gerangan kanak-kanak perempuan berdekatan dengannya pada masa itu.

Seperti biasa, dia cuba mengelak untuk menerangkannya, tetapi kerana aku memberitahu akan DIA, Tuhan Maha Esa, yang mengetahui akan segala perkara dan dosa, akhirnya dia berlaku jujur, lalu terbongkarlah segala ceritera tentang dirinya. Kesunyian yang sering dialaminya kerana suami sering keluar rumah. Suaminya sering berfoya-foya dengan teman-temannya, tanpa menghiraukan perasaannya. Perasaan seorang isteri yang inginkan kasih sayang dari seorang lelaki...

Dari situlah akhirnya dia, menceritakan pelbagai kepincangan rumah tangganya. Dan selepas mengetahuinya, aku cuba memberikan beberapa tazkirah, serta ada jugalah usaha mengelak panggilan-panggilan telefon darinya.

Aku menyatakan begitu kepada suami beristerikan perempuan curang itu bahawa takkanlah pula diriku yang masih Muda Teruna nak berkahwin dengan isteri orang pula?

Selepas aku melontarkan pandangan begitu, dapat aku lihat paparan di wajahnya ternampak seakan-akan bersedih, dan aku juga merasakan sesuatu di dalam hatiku yang seakan-akan rasa bersalah juga kerana berterus-terang seperti itu. Apatah lagi aku mengatakan bahawa aku masih Muda Teruna, semacam sahaja bunyinya...

Realitinya, umurku sudah lanjut sebenarnya. Sudah mencecah 31 tahun, berbanding Isterinya yang masih muda remaja, sekitar 25 tahun tak silap aku, ketika itu.

Berbalik pada perasaanku yang ada rasa bersalah kerana berterus-terang, ditambah pula air mukanya yang seakan-ada bibit-bibit memarahi isterinya mula bercambah, akhirnya aku tersedar. Sebenarnya aku juga telah melakukan sesuatu yang amat-amat tidak wajar bila meletakkan semua kesalahan hanya kepada isterinya semata.

Selepas itu aku cuba pula berusaha menjelaskan semua kejadian yang telah berlaku dari pancaran yang positif sedikit sifatnya agar isterinya kelak tidak disalahkan sepenuhnya.

Opsss… nampak gaya aku terpaksa berhenti di sini dahulu, kerana lamunanku terganggu. Mindaku telah aktif kembali mendesak untuk melakukan sesuatu pada masa ini, iaitu menyambung kerja-kerja kehidupan yang harus diselesaikan sekarang.

(^___^)

(Nampaknya, tak dapatlah aku mengakhiri kisah ini sekarang. In Sha Allah akan aku sambung lagi esok atau lusa atau barangkali dua, tiga hari akan datang, andai ada masa terluang...)

Baca selanjutnya, Klik di sini...

Kisah Kehidupan Pagi Ahad...

Apa khabar Anda pada pagi Ahad ini? Saya doakan semoga Anda ceria sentiasa, dan terus berusaha menjalani kehidupan harian. Semoga Anda beroleh kejayaan yang diinginkan hari ini.

Saya pula, Alhamdulillah... masih lagi dapat melakar-lakar contengan di sini untuk tatapan Anda di kala berseorangan.

Sambil-sambil berehat dan menunggu anak-anak selesai mengaji pagi ini, ada baiknya saya kongsikan dengan Anda beberapa kisah yang saya pernah baca dulu-dulu...

Kisah yang ingin saya kongsikan begini ceritanya,


Kisah 1: Cikgu Salmah, Guru Kaunseling

Salmah baru sahaja memulakan pekerjaan barunya sebagai seorang guru kaunseling di sebuah sekolah.

Dia sangat bersemangat untuk memberikan nasihat kepada pelajar-pelajar di sekolahnya.

Pada masa rehat, dia melihat seorang pelajar yang sedang berdiri seorang diri di hujung padang, sedangkan kawan-kawannya yang lain sedang asyik bermain di tengah-tengah padang mengejar bola antara satu sama lain.

Cikgu Salmah cuba mendekati pelajar itu dan bertanya apakah dia ada masalah... Pelajar itu menjawab bahawa keadaannya baik sahaja.

Mendengar jawapan itu, cikgu Salmah lalu meninggalkannya.

Beberapa minit kemudian Salmah memerhatikan lagi pelajar itu masih sendirian di tempat yang sama. Salmah kini yakin bahawa pelajar ini sebenarnya mempunyai masalah.


Lalu sekali lagi Salmah mendekati pelajar itu dan berkata penuh kelembutan...

"Apakah kamu mahu kalau cikgu menemanimu?"

Pelajar itu menjawab... "Okey.. boleh saja...!"

Merasa bahawa pendekatannya berhasil, cikgu Salmah bertanya lagi.. "Kenapa kamu berdiri seorang diri di sini?"

"Kerana ..." jawab pelajar itu dengan penuh kehairanan... "... Sebenarnya saya adalah penjaga gol, cikgu..."



Kisah 2: Budak Rocker Minat Gong

Seorang budak rocker mengajak kawannya datang ke rumah barunya. Dengan bangga dia menunjukkan ruang-ruang bilik dan hiasan rumahnya itu. Mereka berhenti di sebuah gong tembaga yang besar, kelihatan menarik dan antik.

Kawannya lalu bertanya, "apakah benda ini? Kau budak rocker pun boleh minat dengan alatan gong tradisional begini?"

"Menarik kan?" Jawab budak rocker itu. "Ini bukan alat muzik lah bro. Ini jam bercakap."

"Jam bercakap?! Sambung kawannya kehairanan. "Fuhyooo! Bro, macam mana ia beroperasi? Sekarang pukul berapa?, cuba kau demo sikit."

"Demo? Kau serius? Jawab
 budak rocker itu.

"Ok, tengok nie ya..." kata budak rocker itu lalu mengangkat gendang besi yg kelihatan berat sambil menghayun kuat menghentam ke tengah-tengah gong itu yang terus mengeluarkan bunyi yang kuat bagaikan boleh memecahkan gegendang telinga.

Tiba-tiba terdengar jeritan di sebalik tembok rumah sebelah, "Hoi!!! Kau dah buang tebiat nak mampus ke apa hah?!!! Dah pukul 2 pagi lah biul. Tak tahu nak tidur ke?!! Sewel punya budak!"

"Ah! Dah pukul 2 pagi daaah," jelas budak rocker itu.

Kawan dia cuma menggaru-garu kepala dan masih blur serta terkedu sahaja...

(*__*)



Kisah 3: Seorang Pemuda dengan Nenek

Di dalam sebuah bas duduk seorang pemuda dan seorang nenek. Si nenek memicit-micit kepalanya.

“Kenapa nie nek?. Pening kah?,” tanya pemuda tersebut.

“Ya nak, rasanya kepala pening, perut mual, rasa macam nak muntah,” jawab nenek.  “Oh, ya nak, bolehkah nenek melihat muka kamu sebentar?.”

Pemuda itu terkejut tetapi kemudian tersenyum,”Boleh nek, tetapi kenapa ya?”

Si nenek menjawab,”supaya saya muntah lebih cepat.”

(^___^)



Kisah 4: Doktor dengan Lelaki Tua

Seorang Lelaki tua memasuki bilik doktor untuk pemeriksaan fizikal tahunan. Setelah beberapa minit, doktor keluar dan berkata, "En. Johari, aku minta maaf, tapi kami mendapati anda menghadapi keadaan yang hanya memungkinkan anda untuk hidup 6 minggu sahaja lagi".

"Tapi Doktor," Johari menjawab, "Saya merasa sihat, saya tak merasa lebih baik dari tahun ini... tidak mungkin, Doktor. Apakah yang boleh saya lakukan doktor?"

Setelah beberapa saat, doktor berkata, "Ya, En. Johari mungkin boleh ke spa kesihatan yang baru di hujung jalan ini dan mandi lumpur setiap hari".

Johari bersemangat lalu bertanya, "Kaedah itu akan menyembuhkan penyakit sayakah doktor?"

"Tidak," jawab doktor, "tapi itu akan membuatkan kamu terbiasa dengan tanah."


(@__@)



Bha... jam 10.00 am sudah. Kena ambil anak dari kelas mengaji sekarang ini. Nanti sambung balik ya...





Baca selanjutnya, Klik di sini...