Ramai orang cepat berasa bosan bila melakukan pekerjaan yang sama sahaja sepanjang masa. Lebih-lebih lagi hasil kerja yang dilakukan seolah-olah tidak diiktiraf oleh sesiapa. Ia membuatkan perasaan tidak puas hati berlegar-legar di dalam diri sendiri.
Ada kala membara di dalam hati sanubari. Seterusnya bermain-main di minda dan membuatkan pemikiran tidak memfokus pada hasil kerja yang dilakukan.
Ada kala juga, pemikiran lebih terarah mencari pekerjaan yang lain pula. Bila mendapat pekerjaan baharu, sama sahaja sebenarnya. Cepat berasa bosan. Lagi sekali, tidak merasa puas melakukannya. Pada akhirnya, mulalah bermalas-malasan melakukan kerja. Boleh sampai ke tahap tidak mahu lagi melakukannya.
Bagi yang makan gaji, dek hari-hari melakukan pekerjaan yang sama sahaja, dirasakan kerja yang dilakukan amat membosankan. Pada akhirnya, bermalas-malasan. Sampai ke tahap tidak mahu lagi memikirkan hasil kerja yang dilakukan. Lebih terdorong membuat kerja di luar tugasan hakiki. Lebih parah, ponteng datang kerja.
Begitu juga halnya mereka yang bergelar pelajar. Sama ada di sekolah rendah, di sekolah menengah, juga di universiti. Bila ditimpa kebosanan dalam proses pembelajaran, akhirnya lebih terdorong berhibur ke sana-sini. Pembelajaran yang perlu dilakukan sudah tidak dihiraukan lagi.
Berlainan pula bagi mereka yang mencari nafkah sendiri. Berasa bosan bila mana rezeki yang diperolehi seciput sahaja sampai tergamak menipu ke sana-sini.
Air biasa pun dikatakan air berubat mujarab mengubati pelbagai penyakit, walaupun realitinya tiada kajian saintifik membuktikan produk sebegitu rupa boleh menghilangkan penyakit.
Dek ingin menjadi kaya raya, mulalah menjual pelbagai produk yang konon-kononnya berkesan mengubati kesemua penyakit duniawi. Walhal, sebenarnya dia sendiri belum ada keyakinan menggunakannya. Membohong untuk mendapatkan kekayaan dunia yang sementara untuk dikecapi.
Mengapa ini terjadi?
Ponteng datang kerja, ponteng datang sekolah, ponteng datang kuliah, dan lebih parah, berbohong sesama manusia. MasyaAllah!
Kalau tanya saya bagaimana mengubatinya, sememangnya tergaru-garu kepala juga bila diajukan persoalan begitu sebenarnya. Jujur saya beritahu bahawa tiada ubat mujarab yang dapat merawat penyakit sebegitu, kecuali diri sendiri.
Sungguh! diri sendiri sahaja yang berupaya merawatnya dengan melakukan muhasabah diri.
Antara muhasabah yang boleh dilakukan ialah bertanya kepada diri ke mana arah tujuan kehidupan duniawi yang sedang dilalui ketika ini. Menuju kepada NYA atau menjauhi petunjuk NYA.
Ketahuilah bahawa sesungguhnya segala rahsia kehidupan duniawi adalah milik NYA, Tuhan Penguasa Alam Semesta. Tiada kuasa yang lebih hebat selain DIA, iaitu Tuhan Yang ESA, Allah SWT.
Barangkali boleh juga dikatakan kebosanan melakukan pekerjaan adalah didorong oleh nafsu. Nafsu tidak dikemudi sebaiknya. Nafsu dibiarkan membuat dorongan agar mencapai kepuasan di dalam semua perkara.
Nafsu dibiarkan bermaharaja lela mengatasi keupayaan minda sehingga ditimpa mabuk duniawi. Terhoyong hayang berjalan di sepanjang kehidupan dunia. Lupa matlamat hakiki, apa yang ingin dicari dalam kehidupan ini, mengapa ada di dunia ini...
Kehebatan minda dibiarkan lemah untuk menafsir erti kehidupan yang sebenar-benarnya. Pada akhirnya, berasa bosan meneruskan pekerjaan di dalam kehidupan dunia yang bersulamkan pelbagai ujian-ujian dari NYA.
Ada kemungkinan juga disebabkan masih belum memahami matlamat hakiki kehidupan ini, maka terdoronglah menikmati keseronokan kehidupan dunia. Sudah tidak dihiraukan hasil akhirnya. Ke arah mana hendak dituju, sama ada syurga atau neraka.
Ada kemungkinan juga dek sinar keimanan di dalam hati masih belum memancar sepenuhnya. Mengetahui dan menyakini bahawa pada setiap masa ada dua malaikat berperanan mencatat segala pekerjaan duniawi ini. Malaikat yang berperanan mencatat segala kebaikan dan mencatat segala keburukan pekerjaan oleh setiap insan.
Teringat pula saya satu kisah di mana Rasulullah didekati oleh seorang lelaki yang hebat penampilannya. Anda nak tahu kisahnya, teruskan sahaja pembacaan Anda sehingga ke bawah...
Kisah Kehidupan
Kemudian dia berkata: Hai Nabi Muhammad! Khabarkanlah kepadaku darihal Islam. Maka Rasulullah s.a.w. menjawab: Islam itu ialah bahawa engkau mengakui tiada tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau puasa bulan Ramadan, dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi kepadanya. Dia berkata: Benarlah engkau!
Maka kami pun tercengang kerana dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya.
Katanya lagi: Maka khabarkan kepadaku darihal Iman. Rasulullah s.a.w. menjawab: Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah, dan malaikat-Nya, dan segala kitab-Nya, dan para Rasul-Nya, dan engkau beriman pada takdir baik-Nya dan jahat-Nya. Dia berkata: Benarlah engkau!
Kemudian dia bertanya lagi: Maka sekarang khabarkanlah kepadaku darihal Ihsan. Rasulullah s.a.w. menjawab: Ihsan ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Ia melihat engkau...
(HR. Muslim)
0 comments :
Post a Comment