Saturday, 30 January 2016

Menyingkap Keseksian Suara Hati...


Lakaran ini adalah cetusan idea daripada adikku Tampan Bergaya. Saja aku kongsikan dengan Anda diblog ini. Menurutnya,

Orang yang ada motivasi adalah orang yang rajin berusaha. Sebaliknya pula, orang yang tidak ada motivasi dan tidak tercari-cari motivasi adalah orang yang tidak mahu berusaha.

Motivasi hanya wujud dalam diri orang-orang yang mahu berusaha. Seseorang yang rajin berusaha kerana dia mahu mencapai sesuatu di dalam kehidupan ini.

Seseorang yang tidak tahu apa yang dia ingin capai tidak akan rajin berusaha. Dia hanya mahu berseronok, bersenang-senang dan tenggelam dalam kebosanan...

Motivasi hanya akan ada bila mana Anda mulai merasa ingin berubah atau ingin mencapai tahap lebih baik dalam apa jua perkara yang Anda minati, juga dalam apa perkara yang Anda sedang usahakan sekarang ini.

motivasi sebenarnya adalah keinginan. Motivasi boleh menjadi sebuah keinginan membara, azam yang kuat, cita-cita tinggi, mempunyai matlamat yang ingin dicapai, impian yang mahu direalisasikan.

Tanya diri Anda sendiri, apa maksud motivasi yang Anda fahami? Sekarang, Anda mungkin seorang pekerja, seorang usahawan, seorang pelajar, seorang ibu tunggal, seorang bapa atau mungkin seorang bos.

Motivasi buat Anda adalah sesuatu yang mendorong Anda sama ada mahu memilikinya, mencapainya, merealisasikannya atau mengimpikannya.

Tatkala anda mahukan sesuatu dan anda benar-benar amat mahukannya, disitulah wujudnya motivasi.

Kala anda sedang mencintai seseorang dalam diam kemudian anda mahu menjadikannya pasangan hidup, itulah juga yang dikatakan motivasi. Bezanya, ia adalah motivasi cinta.

Motivasi ibarat minyak kereta. Jika kereta tidak ada minyak, kereta tidak boleh berjalan. Begitulah juga halnya lilin tanpa api.

Apabila tidak ada api, lilin tidak boleh menyala. Hanya sebatang lilin biasa, tanpa percikan api, lilin  tidak akan menyala.

Motivasi sebenarnya amat ringkas tetapi yang terlepas pandang mengenainya terlalu ramai.

Jika anda mahu ubah hidup anda jadi lebih baik dari sekarang gunakanlah motivasi yang Anda miliki.




Baca selanjutnya, Klik di sini...

Friday, 29 January 2016

Mengintip Suria Hati, Seksi....

Malam ini hatiku terdorong untuk berkongsi berkenaan kehidupan indah.

Hidup memang selalunya indah.

Tapi yang menjadikan hidup ini tidak indah adalah Anda. Anda menjadikan hidup Anda tidak indah dengan memikirkan yang buruk, bersangka buruk dan bersikap buruk, termasuklah berkata yang buruk-buruk.

Lihatlah orang yang berfikiran positif. Orang sebegitu hidupnya indah. Dia bahagia, dia nampak seperti orang bertuah kerana dia nampak bahagia.

Sebenarnya semua itu diusahakan melalui minda. Keindahan hidup boleh dibentuk. Caranya bagaimana? Melalui fikiran.

Fikiran kita ini bertindak sebagai doa. Lebih banyak kita berfikir tentang sesuatu, samalah seperti kita berdoa dan terus berdoa supaya apa yang kita fikirkan itu muncul menjadi realiti dalam kehidupan kita.

Sebagai contoh, tiap kali Anda memikir masalah, samalah seperti Anda selalu meminta masalah dimunculkan.

Setiap kali Anda geram dengan masalah, setiap kali itu jugalah Anda seolah-olah meminta makin banyak masalah dimunculkan dalam hidup Anda.

Setiap kali Anda dilanda situasi buruk yang tidak dijangka seperti kemalangan, kemiskinan, masalah kewangan, tekanan perasaan, tekanan kerja, sikap kawan yang menyakitkan hati atau sesuatu berlaku di luar kemahuan Anda, alihkan perasaan sakit hati itu. Hentikan.

Bertenanglah. Berserahlah.

Apabila sesuatu sudah berlaku, Anda tidak ada kuasa mengubahnya. Tapi Anda akan kuasa mengawal apa yang bermain di fikiran Anda.

Orang yang selalu berfikir positif akan mendapat balasan positif.

Mungkin masa itu situasi tidak memihak kepada Anda, tapi di satu ketika lain, situasi akan memihak kepada Anda kesan dari sikap berfikiran positif, kesan dari sikap bersangka yang baik-baik.

Yang baik tetap akan mengatasi yang buruk walau kelihatannya yang buruk itu seolah-olah menang.

Ubah sikap Anda. Binalah sikap suka bersangka baik. Sebab, sikap itu akan menunjukkan kesannya.

Bezanya, cepat atau lambat saja.


"Manis dan Indahnya hidup ini hanyalah fatamorgana andai Pancaindera yang merasainya berjilbab tanpa nama NYA"



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Reunion Sk Bandar Tawau, 2015 - Bertemu Selepas 31 Tahun Berlalu...

Lakaran ini adalah susulan daripada coretan sebelum ini yang bertajuk "Koleksi Foto-Foto Reunion". Sebenarnya ada beberapa foto lagi yang saya tidak sempat masukkan ke dalam blog ini tempohari. Oleh itu, dalam entri kali ini, saya tambahkan lagi beberapa foto-foto Reunion SK Bandar Tawau tahun 2015 yang telah diberikan oleh Puan Suzana @ Nang. 

Terima kasih sekali lagi kepada Puan Suzana @ Nang kerana sudi berkongsi kesemua foto-foto ini. Menurutnya "Every moment sepanjang reunion itu berlangsung, amat indah" sukar terluah. Apatah lagi keindahan itu dia nak gambarkan kepada saya. Memang susah!

Wah! daripada ungkapannya itu, ia memaparkan betapa menariknya gambaran sepanjang Reunion itu berlangsung. Namun, apakan daya, keindahan itu saya tak dapat rasai kerana telah tidak bersama-sama. Rasa rugilah pula... (*___*)

Puan Nang sempat juga memberitahu kepada saya bahawa terdapat Satu Video yang cukup touching yang telah disediakan oleh Sahabat lama saya, bernama Baharun. Moga-moga Video itu dapat dikongsikan di blog nanti, In Sha Allah.











Baca selanjutnya, Klik di sini...

Jangan Takut Mencuba

Sebelum melelapkan mata malam ini, izinkanlah saya berkongsi luahan ini.. 😊

Jangan Takut Mencuba
************************

Ketahuilah bahawa setiap sesuatu itu perlu dipelajari agar kelak mahir mengenainya. Oleh sebab itu, ketahuilah masalahnya dahulu dan pelajari bagaimanakah cara mengatasi masalah itu. Berbanding berterusan merendah-rendahkan diri sendiri serta memikirkan ia sebagai satu masalah yang tiada cara penyelesaiannya.

Kehadiran di dunia ini sememangnya bukanlah sia-sia, tetapi jauh daripada itu adalah untuk mempelajari sesuatu tentang kewujudan-Nya dan lebih jauh daripada itu adalah agar memahami kekuasaan-Nya.

Sekiranya tidak mahu mencuba dan mempelajari sesuatu perkara, bagaimana mungkin diri sendiri akan mengetahui dan merasainya? Satu-satu kemahiran itu tidak akan pernah terlaksana di dalam diri andai diri sendiri tidak mahu mencubanya!.

Memanglah, dalam setiap percubaan-percubaan itu kelak beroleh risiko. Dan jangan lupa juga bahawa mungkin ia akan menjadi kenangan manis di dalam perjalanan hidup ini. Harus diyakini bahawa segala risiko itulah yang akan mematangkan diri agar cekal menghadapinya.

Ketahuilah juga bahawa semua insan yang diciptakan oleh-Nya tidak ada yang sempurna, kecuali DIA - MAHA PENCIPTA. Oleh itu, anggaplah kesilapan yang akan berlaku di dalam mencuba sesuatu itu sebagai satu proses untuk mengenali siapa sebenarnya diri berbanding DIA.

Dan jangan lupa pula bahawa kemahiran yang kelak dimiliki hasil usaha berterusan, sememangnya satu usaha untuk merapatkan diri kepada-Nya, jauh daripada itu, untuk mengenali-Nya.

Jangan takut untuk mencuba kerana pasti bila sentiasa dicuba, diri sendiri akan berkemahiran mengenainya...

"...Adakah Engkau hendak membinasakan kami disebabkan apa yang telah dilakukan oleh orang-orang yang bodoh di antara kami? (Apa yang mereka telah lakukan) itu hanyalah cubaanMu. Dengan cubaan itu Engkau sesatkan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau beri petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau jualah Pelindung kami; oleh itu ampunkanlah kami dan berilah rahmat kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi ampun.(Al-A'raf, 7: 155)


🌴🌴🌴
Baca selanjutnya, Klik di sini...

Tips agar diSayangi Suami.. Politik Malaysia


Malam semakin larut, tiba-tiba pula tergerak hatiku melakarkan sebuah coretan baharu iaitu, Tips Agar diSayangi Suami, buat tatapan para Isteri. Tips ini eksklusif dari perspektif suara hati seorang suami 😊

Pengalaman hidup yang telah aku lalui, merupakan rencah hasil adunan rahsia mengapa diriku mengasihi dan menyayangi Isteriku. Sungguh! Tips ini adalah luahan hati, eksklusif untuk Anda ketahui dan dikongsi bersama-sama, InshaAllah.

Andai tips yang dikemukakan ini terdapat cacat celanya, anggaplah ia terluah daripada kelemahan diri saya.

Moga-moga Allah SWT mengampunkannya. Dan sesungguhnya, saya juga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Anda kerana terus sudi menelaah lakaran-lakaran larut malam begini 😊

Tapi sebelum  itu, barangkali ada baiknya juga aku kongsikan dahulu dua kisah kehidupan, Politik Malaysia dahulu, untuk ditafsir dan dijelmakan di ruangan minda, supaya terbayanglah Tips Utama yang ingin aku kongsikan dengan Anda.

Kisah 1

Peristiwa berlaku pada hari Rabu, tahun 1998 bertarikh 2 September. Ketika itu, heboh seluruh Negara Malaysia. Masih segar diingatanku ketika mengetahui peristiwa yang berlaku. Aku sedang berada di sebuah resort tepi pantai.

Semasa berehat-rehat sambil minum pagi di resort yang aku maksudkan, tiba-tiba pemilik resort yang merupakan seorang ahli perniagaan berbangsa Cina, telah melontarkan berita gempar sambil menunjukkan muka surat hadapan akhbar Berita Harian yang lebih kurang bermaksud “Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Menteri Kewangan Malaysia ketika itu, telah dipecat”.

Peristiwa itu disusuli dengan gelombang suara rakyat khususnya laungan Reformasi. Bukan sahaja di dalam negara, malahan turut bergema di luar negara. Hatta sampai negara Amerika, turut sama melaungkannya. Sampaikan Timbalan Presidennya yang bernama Al-Gore datang dengan gerombolannya menjejakkan kaki ke negaraku tercinta, Malaysia.

Realitinya, laungan Reformasi itu tidak bergema lama, ia sedikit demi sedikit padam dek kekentalan dan kewibawaan pemimpin bernama Tun Dr. Mahathir Mohammad, yang merupakan Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu dan merupakan individu yang bertanggungjawab memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalannya.

Di sebalik itu juga, Tun Dr. Mahathir tidak pun mengendahkan atau menghiraukan pelbagai gelaran-gelaran cela yang dijenamakan kepadanya termasuklah Mahafir’aun, Mahazalim dan selainnya.

Semuanya itu ditepis oleh jiwa kepemimpinan yang dipunyai oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad. Malahan masalah ekonomi ketika itu, yang dialami Malaysia, berupaya diselesaikan dan akhirnya cengkaman IMF (International Monetary Fund) di bumi Malaysia dapat dielakkan.

Teori ekonomi Tun Dr. Mahathir akhirnya diterima pakai dan berupaya serta terbukti berkesan menyelesaikan sebahagian masalah2 ekonomi yang dihadapi negara Malaysia ketika itu. Ia juga telah menjadi lipatan sejarah berguna untuk dunia mempelajarinya...


Kisah 2

Jujur saya memberitahu kepada Anda bahawa aku juga menghormati dan mengagumi keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya Datuk Seri Wan Azizah, isterinya.

Sungguh! Aku mengagumi mereka.

Bayangkanlah ujian bertimpa-timpa yang dihadapi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga kini, bukan calang-calang ujiannya. Keluar-masuk penjara. Bermula dengan tuduhan liwat dan dibuktikan di mahkamah, tetapi tuduhan itu akhirnya digugurkan pula pada tahun 2004, dan kini, dipalitkan pula semula tuduhan liwat terhadapnya. Dan yang terbaru, video seks, tersebar merata di alam maya.

Datuk Seri Wan Azizah membuktikan sifat setia seorang isteri terhadap suami tercinta. Sehingga kini, beliau masih di samping Datuk Seri Anwar Ibrahim, berdiri teguh menepis segala tohmahan negatif terhadap suaminya. Malahan dialah menjadi tulang belakang kekuatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika ini.

Segala tohmahan-tohmahan yang bertebaran di alam maya tidak pun merenggangkan hubungan mereka berdua, iaitu hubungan Datuk Seri Anwar Ibrahim dgn Datuk Seri Wan Azizah. Begitulah pemerhatian kasar yang aki boleh kongsikan dengan Anda.

Sememangnya peristiwa yang menimpa keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi ikhtibar berguna. Sebab itu aku melakarkannya di sini untuk tatapan Anda, saudaraku yang sememangnya saya kasihi kerana DIA.

Kedua-dua kisah di atas merupakan intipati tips yang saya ingin kongsikan. Andai masih belum pasti, InsyaAllah di lakaran berikutnya, akan dapatlah digali maknanya nanti... 😊

🌵🌵🌵
Baca selanjutnya, Klik di sini...