Friday, 29 January 2016

Jangan Takut Mencuba

Sebelum melelapkan mata malam ini, izinkanlah saya berkongsi luahan ini.. 😊

Jangan Takut Mencuba
************************

Ketahuilah bahawa setiap sesuatu itu perlu dipelajari agar kelak mahir mengenainya. Oleh sebab itu, ketahuilah masalahnya dahulu dan pelajari bagaimanakah cara mengatasi masalah itu. Berbanding berterusan merendah-rendahkan diri sendiri serta memikirkan ia sebagai satu masalah yang tiada cara penyelesaiannya.

Kehadiran di dunia ini sememangnya bukanlah sia-sia, tetapi jauh daripada itu adalah untuk mempelajari sesuatu tentang kewujudan-Nya dan lebih jauh daripada itu adalah agar memahami kekuasaan-Nya.

Sekiranya tidak mahu mencuba dan mempelajari sesuatu perkara, bagaimana mungkin diri sendiri akan mengetahui dan merasainya? Satu-satu kemahiran itu tidak akan pernah terlaksana di dalam diri andai diri sendiri tidak mahu mencubanya!.

Memanglah, dalam setiap percubaan-percubaan itu kelak beroleh risiko. Dan jangan lupa juga bahawa mungkin ia akan menjadi kenangan manis di dalam perjalanan hidup ini. Harus diyakini bahawa segala risiko itulah yang akan mematangkan diri agar cekal menghadapinya.

Ketahuilah juga bahawa semua insan yang diciptakan oleh-Nya tidak ada yang sempurna, kecuali DIA - MAHA PENCIPTA. Oleh itu, anggaplah kesilapan yang akan berlaku di dalam mencuba sesuatu itu sebagai satu proses untuk mengenali siapa sebenarnya diri berbanding DIA.

Dan jangan lupa pula bahawa kemahiran yang kelak dimiliki hasil usaha berterusan, sememangnya satu usaha untuk merapatkan diri kepada-Nya, jauh daripada itu, untuk mengenali-Nya.

Jangan takut untuk mencuba kerana pasti bila sentiasa dicuba, diri sendiri akan berkemahiran mengenainya...

"...Adakah Engkau hendak membinasakan kami disebabkan apa yang telah dilakukan oleh orang-orang yang bodoh di antara kami? (Apa yang mereka telah lakukan) itu hanyalah cubaanMu. Dengan cubaan itu Engkau sesatkan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau beri petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau jualah Pelindung kami; oleh itu ampunkanlah kami dan berilah rahmat kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi ampun.(Al-A'raf, 7: 155)


🌴🌴🌴

0 comments :

Post a Comment