Wednesday, 27 January 2016

Mencari Jodoh, bertemu Isteri... Bhg 4


Sebenarnya aku memulakan usaha mengorat gadis setelah aku mengerti bahawa aku mesti berkahwin segera memandangkan usiaku semakin lanjut ketika itu.

Ada tiga gadis yang hampir-hampir aku kahwini. Bukanlah berkahwin sekali gus dengan ketiga-tiganya serentak, OK... tetapi kerana tidak berjaya dengan yang satu, aku mencuba pula yang berikutnya, sehinggalah aku bertemu dengan Isteriku Tercinta.

Kisah ini aku ceritakan kepada Anda dengan harapan Anda akan mengerti dan mempunyai keyakinan untuk melakukannya. Manalah tahu... bukan? (*___*)

Sengaja aku menceritakannya di sini kerana ingin berkongsi dengan Anda, sahabat yang aku kasihi. Anda sememangnya aku kasihi kerana DIA. Terima kasih jua kerana terus sudi bergurau senda di sini. Ketahuilah bahawa tanpa rahmat NYA, siapalah aku untuk terus berbual-bual dengan Anda. Anggaplah usaha begini adalah jalinan ukhuwah, silaturahim agar kita bersatu hati, In Sha Allah. 

Sejujurnya aku memberitahu di sini bahawa aku bersua dan bertemu dengan Isteriku Tercinta sekali pandang sahaja. Lalu terus bernikah. Akan aku kisahkannya kepadamu Jo, kerana aku ingin berkongsi mengenainya memandangkan kekuasaan dan keajaiban NYA ada terselit di dalam kisah itu.

Bayangkanlah, dengan tiga gadis yang hampir-hampir aku jadikan suri di dalam hati dan hidupku, tetapi kerana mereka bertiga bukanlah jodohku, akhirnya Isteriku Yang Tercinta pula yang aku kahwini. Inilah yang dinamakan Jodoh.

Sememangnya Jodoh adalah hak mutlak ketentuan-NYA. DIA sememangnya maha berkuasa, tiada yang dapat menandingi kekuasaan yang ada pada NYA. DIA lah Tuhan Penguasa Alam Semesta, Allah SWT.

Maha Suci Allah dari segala perbandingan yang zahir pada pandangan mata.

Allahuakhbar!

Perlu juga aku beritahu kepada Anda bahawa aku amat bersyukur di atas kurniaan-NYA, iaitu apa sahaja yang berlaku di dalam kehidupan ini, aku perlu yakini bahawa ia adalah semata-mata merupakan ujian-ujian dunia yang harus dilalui.

Kepada-NYA jua aku memohon keampunan di atas segala kealpaan dan kesilapan dari tafsiran yang aku lakukan khususnya kerja-kerja di dalam kehidupan duniawi ini.

Sesungguhnya, diriku terlalu kerdil di dalam mengenali erti kesemua paparan yang ada di dalam kehidupan duniawi ini. Apatah lagi untuk mengetahui segala macam perkara yang tersembunyi. Memang aku tidak mampu andai belas ehsan dari NYA tiada bersama-sama mengiringkan panahan cahaya NYA di sepanjang perjalanan kehidupan ini. Sungguh!, aku akan buta pandangan tanpa cahaya NYA. Itulah ungkapan mudah yang aku dapat luahkan kepada Anda.

Setinggi-tinggi kesyukuran diiringi ungkapan Alhamdulillah sebanyak-banyaknya... kerana kini aku dikurniakan seorang wanita yang penuh dengan kasih-sayang yang dicurahkan kepadaku dan terlalu sukar untuk aku menyatakannya kepada Anda.

Sememangnya dialah wanita yang aku kasihi dan sayangi, dialah Isteriku Tercinta...

🌹🌹🌹

0 comments :

Post a Comment