Monday, 25 January 2016

Menikmati Kenikmatan 2

Sebenarnya apa yang saya cuba jelaskan ialah, buatlah sesuatu usaha agar susu yang Anda sudah pilih walaupun teramat masam atau teramat manis, setidak-tidaknya adalah juga gunanya dan tidaklah sia-sia Anda mencubanya.

Selepas menggapai kejayaan bertemu jodoh, akan ada pulalah ujian-ujian dari-Nya. Usah disangka ujian yang bakal dilalui akan sama seperti mana kehidupan sebelum bertemu jodoh.

Umpama seorang pelajar yang telah lulus peperiksaan SPM, takkanlah pula peperiksaan seterusnya masih setaraf SPM juga yang mahu dilalui. Kalau mahu meningkatkan tahap pengetahuan, kena la pula menduduki peperiksaan STPM. Secara tidak langsung, keputusan daripada ujian STPM itu kelak akan menunjukkan tahap ilmu yang telah dimiliki.

Begitulah hakikatnya kehidupan kita yang telah bertemu jodoh. Bila mana melayari bahtera bersama jodoh, pastilah akan ada gelora dan ombak yang melanda. Saya lebih suka menggunakan perumpamaan bertemu jodoh sebagai sebuah bahtera yang telah siap dibina.

Bahtera itu digunakan untuk melayari lautan luas kehidupan ini. Andai bahtera yang dibina bersama-sama jodoh jelas matlamatnya, saya yakin, haluan bahtera akan sampai juga ke destinasi akhirnya, walaupun dilanda sebesar-besar ombak tsunami.

Sebaliknya pula, seandainya bahtera yang dibina tidak ada matlamat yang jelas, saya berkeyakinan, bahtera itu akan terapung-apung di atas lautan kehidupan dengan tidak tentu hala.

Bila mana itu berlaku, sekecil manapun badai yang menghempas, akan hancur musnahlah bahtera yang dibina. Walaupun zahirnya bahtera itu telah dilengkapi dengan pelbagai alatan canggih untuk membantu pelayaran kehidupan itu.

Bahtera yang hebat dengan pelbagai kilauan gemilang tidak akan belayar dengan betul andai matlamatnya tidak diketahui ke mana haluannya. Pasti lama kelamaan ia akan tenggelam jua ke dasar lautan kehidupan nan luas ini. Bila mana itu berlaku, bahtera yang penuh kehebatan itu tidak akan sampai ke titik akhir pelayarannya.

Untuk memahami destinasi bahtera yang telah menjadi lambang kejayaan hasil bertemu jodoh, Anda dan saya mesti mengetahui ilmu-ilmu dan rahsia-rahsia lautan kehidupan ini.

Andai Anda bertanya bagaimana mencungkil dan mencari ilmu-ilmu kehidupan itu? Saya akan mencadangkan agar marilah kita bersama-sama menyingkap Kitab-Nya kerana di situlah tersimpan segala rahsia pelayaran bahtera kehidupan ini.

Terkadang juga bila mana kita membuka lembaran demi lembaran kitab-Nya, tanpa disangka-sangka akan muncullah sedikit demi sedikit keajaiban kuasa-Nya semasa kita memandu bahtera kehidupan ini.

Kuasa keajaiban Nya itu merupakan kompas yang akan membantu menghalakan haluan bahtera yang telah dibina supaya kelak menuju ke destinasi akhirnya yang sempurna.

0 comments :

Post a Comment