Saya teruja, bila menelaah komentar dari adik sebentar tadi. Terima kasihlah di atas pujian begitu. Puji-pujian seolah-olah diriku ini sudah terlalu hebat...
Realitinya, aku masih meraba-raba sambil mencari-cari cahaya NYA untuk menyuluh kehidupan ini. Adik juga perlu ketahui bahawa kita sama sahaja. Ada akal, ada mata, ada telinga, ada perasaan dan ada segala-galanya...
Cuma berbeza dari pengalaman hidup yang telah kita lalui. Sebab itu sebahagian daripada pengalaman itu, aku kongsikan di sini, di blog ini.
Semoga adik yang dikasihi kelak mengetahui secebis daripada kehidupan yang telah aku lalui Bukan berbangga, tetapi ingin berkongsi.
Kalau aku berupaya menggapainya, tidak mustahil adik juga berupaya melakukan yang lebih hebat dari itu semua. Semoga kelak adik lebih cemerlang melakukannya...
Ketika ini, segala-gala yang kita tempuhi adalah nikmat kehidupan. Kehidupan untuk menguji keimanan. Sama-samalah kita tempuhi.
In Sha Allah, aku mendoakan semoga adik berupaya merangkul cahaya NYA agar dapat digunakan untuk menyuluh perjalanan kehidupan ini khususnya untuk menyuluh langkah-langkah seterusnya.
Begitulah juga dengan diriku, semoga DIA, Tuhan Maha Berkuasa, kelak melimpahkan kasih sayang dan rahmat NYA kepadaku.
Moga-moga kilauan cahaya NYA kelak berupaya merungkai satu persatu rahsia alam kehidupan yang sedang kita lalui bersama-sama ketika ini.
Kalau di awal contengan tadi, aku menyatakan aku teruja, lalu keterujaan itulah yang aku cuba usahakan agar berupaya membimbingnya supaya kelak tidak membuak-buak desakkannya. Sebab itulah aku kena berehat seketika...
Maafkanlah diriku seandainya adik menunggu-nunggu terlalu lama untuk menatap contengan dariku.
Sungguh! aku amat mengasihimu, sebab itulah malam ini, aku berusaha memberikan satu contengan, khusus untukmu...
Moga-moga contengan ini tidak diselimuti nafsu. Kepada NYA jua daku berserah.
Ketahuilah juga bahawa keterujaan yang aku lalui sebelum ini betul-betul bernafsu gelora...
Seolah-olah merasa bangga dek setitis ilmu yang diperolehi, di dalam menyelongkar rahsia kehidupan alam ini. Keterujaan ibarat gelora tsunami melambung tinggi.
Sebab itu, aku harus berehat dan berhenti seketika di dalam menghasilkan coretan di sini. Entah sampai bila, kerana begitulah kaedah yang sering aku lakukan di dalam meredakan bisikan para syaitan durjana.
Kepada adikku yang sedang memburuku, ketahuilah bahawa kita tetap serupa, usah dilihat seolah-olah diriku hebat, kerana aku juga sepertimu, ada mata, ada telinga, ada akal dan yang paling penting, ada hati untuk kita bersama-sama meneliti, akan erti kehidupan ini.
Sesungguhnya, semua yang hebat dan ajaib yang diperhati mata, adalah milik NYA selama-lamanya. DIAlah Allah SWT, Penguasa Alam Semesta.
Salam kasih buatmu, duhai adikku, yang aku kasihi kerana DIA...
Wednesday, 3 February 2016
Titisan Kasih Untukmu
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 comments :
Post a Comment