Waduh! Waduh! Waduh!...
Rasanya adikku sedang diselubungi asmara ketika ini... Asmara Cinta sepasang kekasih.
Bergetar-getar pula tenaga yang dimilikinya, menyebabkan tanpa disangka-sangka saya pula yang ditariknya sehingga berupaya melakarkan sesuatu ketika ini. Moga-moga, adik kelak menawan jejaka yang diidamkan, In Sha Allah. Saya doakan, Ameeen.
Anggap sahajalah perkongsian ini seolah-olah saya sedang berbicara dengan adik yang saya kasihi kerana DIA.
Dulu, banyak kali juga saya merasainya. Ingin mengorat gadis ayu yang kelihatan anggun cantik menawan, mempesona. Namun, pada akhirnya, Orang tua juga yang mencarikan pasanganku. Heheheheee... (^___^)
Nak saya kongsikan kisahnya?
Tak payahlah, nanti ada pula yang rasa meluat menelaah coretan dalam blog ini. Selain membazir masa. Tak pasal-pasal pula Anda berasa marah kepadaku. Ada baiknya saya terus sahaja berbicara dilema adikku yang teringin meluahkan rasa cinta kepada jejaka kacak tampan segak berkarisma.
Berkenaan dilema adik, izinkanlah saya mengatakannya begini;
Seorang gadis, nilai yang amat berharga kepadanya adalah memiliki sifat malu.
Malu adalah salah satu senjata kewanitaan yang terhebat dan tidak dapat ditandingi oleh jejaka. Andai senjata malu telah hilang dari seorang wanita, akan ditelanjangkanlah kewanitaannya di dalam perjalanan kehidupan dunia.
Sungguh! para iblis dan syaitan akan bersorak gembira bila wanita telah hilang senjata utamanya, iaitu "Malu".
Pembeza wanita dan lelaki boleh juga dikategorikan dari sifat Malu. Kalau pun ada jejaka bersifat Pemalu, dia sebenarnya tidaklah sehebat Wanita Pemalu. Sungguh!
Andai sifat malu dilupakan wanita, saya yakin, perjalanannya di dunia diumpamakan sedang berbogel dan tiada perasaan segan silu. Sebab itu saya berani mengatakan bahawa seorang wanita yang memiliki sifat kewanitaan bersulamkan malu amat tinggi harganya... Hermmm ($__$)
Namun, Malu juga tidak boleh terlebih-lebih kerana boleh memudaratkan seorang wanita. Kelak sukar memperolehi teman seperjalanan di dalam kehidupan dunia. Teringat pula kisah peribadi saya berkaitan seorang wanita yang jual mahal, yang pada akhirnya berterus terang merasa kesal setelah mengetahui saya akan bernikah. Oppsss... Sekali lagi, maafkanlah saya, terconteng pula kisah peribadi di sini. Wal hal, coretan kali ini sebenarnya saya dedikasikan untuk adik yang ayu, sedang terpikat pada jejaka kacak, tampan segak berkarisma.
Bersederhanalah pada sifat malu kerana lumrahnya seorang manusia harus berpaksikan kesederhanaan. Manusia bukanlah malaikat dan bukan juga syaitan, tetapi Insan yang memiliki sifat kesederhanaan, Wasatiyah.
Lumrah kejadian dan keistimewaan manusia ada pada sifat kesederhanaan. Sebab itulah juga manusia layak diamanahkan menjadi khalifah di dunia.
Jiwa lelaki dan wanita lumrahnya perlu bersatu agar berupaya mempelajari kehidupan duniawi. Tanpa wanita, jejaka yang sedang berjalan di dunia merasa kesepian. Begitu juga halnya wanita, tanpa jejaka dia juga berasa sepi. Oppsss... apa hal pula tiba-tiba saya berbicara di luar topik ketika ini. MasyaAllah!
Sabar duhai adikku... Sabar itu sebahagian daripada iman. Hehehee (^___^)
Ok, mengenai dilema adik, nasihat saya luahkan seperti ini;
1. Peliharalah sifat malu yang ada dengan sebaiknya. Usah terbawa-bawa perasaan tidak sabar. Kelak menderita olehnya. Lelaki ada kalanya berupaya mempergunakan wanita. Lebih-lebih lagi jejaka yang kurang keimanannya kepada Tuhan. Berwaspadalah sentiasa...
2. Sebagai seorang gadis pemalu, sembunyikanlah dahulu perasaan asmara cinta yang sedang mekar menggoda. Pastikan betul-betul jejaka yang dimaksudkan. Adakah dia juga sedang diselubungi asmara cinta seperti yang adik sedang rasai ketika ini?. Kalau tidak, ada kemungkinan adik akan kecewa dan besar kemungkinan adik hanya akan dipergunakan.
3. Andai adik amat menyukainya, bila bersua, pamerkan senyuman indah kepadanya, kalau boleh, berilah petunjuk-petunjuk kepadanya yang adik sedang memendam rasa, terpikat dengannya. Ini juga antara kaedah mengorat jejaka sebenarnya. (^___^)
4. Paling penting, selidik latar belakangnya. Andai sudah diberkenan, teruskan sahaja bila sudah diteliti bahawa sememangnya dialah jejaka pilihan hati. Tetapi ingat!, usah gopoh meluahkan rahsia hati wanita kerana sebahagian sifat malu lumrahnya sentiasa bersembunyi, di dalam kalbu sanubari.
5. Dan akhir sekali, berdoalah kepada Tuhan Penguasa Alam supaya dibukakan hati jejaka kacak tampan segak berkarisma yang diidamkan. Moga-moga adik akan dapat memikatnya dengan penuh kesopanan. Seorang wanita muslimah, perlu dilingkari kesopanan dan perasaan malu, agar gemerlapannya lebih menyerlah, seumpama kilauan intan permata yang tidak ternilai harganya.
Apapun, coretan yang saya kongsikan ini, bukanlah keputusan mutlak. Adik perlu menganalisa kewajarannya. Dengarlah suara hati adik sendiri, lebih-lebih lagi suara yang berbisik-bisik di dalam kalbu seumpama bisikan suara hati yang mempersona jiwa sendiri...
Friday, 4 March 2016
Cinta Membara, Menagih Kasih...
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 comments :
Post a Comment