Wednesday, 24 February 2016

Urutan Kaki Lucah!!!

Tiba-tiba saya tergerak hati berkongsi sebuah kisah dengan Anda. Kisah pengalaman hidup yang pernah saya lalui, ketika berada di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur, Malaysia.

Kisahnya bermula apabila saya bersama tiga orang adik lelaki berjalan-jalan di sekitar Bukit Bintang beberapa tahun yang lalu iaitu semasa menyertai Pameran Penyelidikan di Putrajaya, Kuala Lumpur.

Tiga orang adik yang berjalan-jalan dengan saya ketika itu masih muda, jauh lebih muda daripada umur saya.

Dua malam sebelum itu, kami telah bersama-sama menjamah makanan di sebuah gerai di Bangsar, sambil-sambil bersembang-sembang sehingga melebihi pukul 2.00 pagi tak silap saya. 

Biasalah, bila mana saya berjauhan dengan Isteriku Tercinta dek melaksanakan tugas, ada kala saya bersembang begitu lama. Sehingga lewat pagi.

Barangkali dek teruja berbincang informal mengenai sains dan agama, kekuasaan dan keajaiban, maka akhirnya saya dipelawa oleh mereka untuk bersama-sama menikmati panorama kehidupan yang paling popular di Bukit Bintang menurut mereka iaitu merasai “Urutan Kaki”. Massage!

Sebenarnya saya tidak bernafsu merasai urutan kaki yang dimaksudkan itu kerana minda sedar saya menafsirkan bahawa urutan yang diberikan oleh Isteriku Tercinta adalah lebih hebat nikmatnya. Apatah lagi keredhaan NYA mengiringi kenikmatan yang sementara dirasai itu, pasti tiada tandingannya...

Tapi itu saya tidak lontarkan kepada mereka kerana khuatir mereka tersinggung nanti. Lalu, saya pun mengiyakan sahaja pelawaan mereka. Sekadar untuk mengetahui dan mengalami sendiri panorama yang dinyatakan oleh mereka itu. Saya bersetuju mengikut mereka.

Kedai-kedai mengurut kaki memang banyak di sekitar Bukit Bintang. Pelbagai ragam dan bangsa yang ada di sana, termasuklah orang-orang dari Arab dan Barat.

Ada beberapa pengalaman yang saya masih ingat ketika berada di sana. Antaranya ialah ditawarkan dan dipaksa oleh seorang lelaki yang lagaknya seumpama maknyah.

Tawarannya ialah “urutan kaki” berkelas VIP, kononnya.

Itu tawaran yang diberikannya kepada saya dan tiga adik-adik yang lain. Saya menolaknya dengan baik dan memandang ke arah adik-adik yang lain sambil memberikan isyarat gelengan kepala. Mereka tersenyum dan saya pun tersenyum...

Namun, lelaki itu terus mendesak dan bergerak ke dalam kedainya sambil menunjukkan ruangan di dalam kedainya yang ada pelanggan sedang diurut kaki. Saya bersama adik-adik lain sekadar melihat dari jauh dan sempat juga melihat lelaki itu memberikan isyarat penunjuk ke arah bilik yang berlabel VIP.

Hanya senyuman dan gelengan kepala saya lontarkan kepadanya. Adik-adik yang lain juga bersetuju. Mereka tidak mahu diurut disitu. Di dalam bilik khas dinamakan Urutan Kaki kelas VIP.

Selepas penat berjalan-jalan, kami berdiri berhampiran sebatang tiang lampu, dan tiba-tiba seorang lelaki mendekati dan menzahirkan pelawaan yang lain pula. Bukan urutan kaki. Pelawaan yang diluahkannya berbunyi “Adik nak perempuan?”

Hah!!!

Walaupun terkejut dilontarkan pelawaan sebegitu, saya berusaha mempamerkan reaksi bersahaja kepadanya diiringi gelengan kepala. Adik-adik yang lain turut melemparkan senyuman dan gelengan kepala.

Bukan sekali lelaki itu memberikan tawarannya, tetapi tiga kali dia memujuk kami. Walaupun kami berusaha menjauhinya, tetapi, dia tetap mengekori dan sempat juga dia menggores bahu saya serta mengenyitkan mata seolah-olah tafsirannya...

Marilah! Marilah!.

Atau barangkali terjemahannya ialah... Mahulah! Mahulah!


Cahaya di sekitar Bukit Bintang memang bergemerlapan. Lampu kelip-kelip memang banyak. Membuatkan ianya bertenaga. Tetapi hati saya menterjemahkan sebaliknya. Gelap tiada cahaya. Tidak seumpama namanya Berbintang-Bintang Bergemerlapan...

Lalu, ketiga-tiga adik yang bersama-sama saya ketika itu membatalkan niat mereka untuk mengurut kaki di situ. Sebabnya? Entahlah! Saya sendiri tak pasti alasan mereka.

Kalau Anda tanya saya, sudah pasti alasan yang saya berikan ialah saya hanya mahu merasai urutan daripada Isteriku Tercinta.

Bukan setakat kaki, melebihi paras kaki, sampai ke peha dan sekitarnya pun saya tak kisah. Asal sahaja dia adalah Wanita yang saya kasihi dan sayangi, dialah Isteriku Tercinta.

(*___^)




Baca selanjutnya, Klik di sini...

Kehebatan Manusia dan Aura Kesaktiannya

Kesaktian adalah antara ilmu yang diinginkan oleh sebahagian besar manusia, kerana dari ilmu kesaktian inilah manusia dikenali sebagai seorang yang hebat. 

Sememangnya manusia adalah makhluk yang hebat yang telah dijadikan oleh Tuhan Maha Pencipta, Tuhan yang Esa.

Kehebatan manusia berupaya mengatasi iblis, yang juga makhluk Tuhan. Kehebatan manusia telah menyebabkan iblis dengki dan akhirnya telah menghumbankan iblis ke dalam jurang kekufuran kepada Tuhan yang Menciptakan. Bertitik tolak dari itulah juga akhirnya manusia yang hebat yang memiliki kesenangan Syurgawi terhumban ke dalam kehidupan Duniawi. Dunia yang di duduki kini. 

Sememangnya begitulah sejarah yang diceritakan kepada saya mengenai lumrah kehidupan dunia yang diwarisi kini. 

Kealpaan manusia menyebabkan ujian dunia kena dilalui dahulu sebelum menduduki semula syurgawi. Dan untuk itu berlaku, kita yang bergelar manusia perlu membuktikan bahawa sememangnya kita lebih hebat berbanding iblis dan para tentera-tenteranya yang terus menerus berusaha menyesatkan kehidupan manusia.

Tetapi ingat!, kehebatan ini bukanlah pula untuk meninggi diri, sombong dan menjadi takbur. Sememangnya kehebatan yang manusia miliki adalah merupakan ujian-ujian yang harus dilalui.

Perbezaan antara manusia dengan syaitan memanglah jelas kerana syaitan adalah bibit-bibit kelahiran iblis yang semulajadinya ada sifat kedengkian, sombong dan takbur serta ingkar kepada Tuhan. Kalau manusia itu ada sifat sedemikian, alamatnya dikenali Manusia Bertopengkan Syaitan iaitu akan ditempatkan secara abadi di dalam neraka yang akan ditemani oleh para syaitan. Nauzubillah…

Untuk membezakan manusia yang bergelar Insan Ciptaan Tuhan dan Manusia Bertopengkan Syaitan, bolehlah juga dirujuk kepada Kehebatan Diri. Kehebatan yang saya ungkapkan ialah memiliki ilmu yang tinggi sebagai benteng pertahanan diri di dalam melalui liku-liku kehidupan ini.

Andai Anda tidak mahu juga melakukan begitu, terserahlah kepada Anda kerana seperti yang saya katakan di awal coretan tadi bahawa kesombongan dan keingkaran iblis sendiri menyebabkan dia menjadi kufur selama-lamanya. Itu yang dikehendaki oleh iblis sendiri.…. 

Kehebatan kita pasti bersinar andai ada bimbingan dari NYA.

Mengapa? Kerana segala rahsia kehebatan tentang diri kita hanya ada pada Tuhan Maha Pencipta. Dari itu, usah terlupa untuk memohon kesaktian dan kehebatan dari NYA sentiasa. 

Sesungguhnya DIA amat mengetahui akan segala-gala kesaktian dan kehebatan yang kita miliki, untuk dijadikan senjata di dalam menempuhi segala ujian-ujian duniawi.

Namun, ketahuilah bahawa ianya tidak mudah seandainya kita masih tidak mengenali DIA, DIA yang Maha Esa, Pencipta yang Maha Kuasa yang saya kenali ALLAH SWT.

Opss… sebenarnya saya ingin bercerita mengenai kesaktian dan kehebatan yang diinginkan oleh sebahagian manusia. Berbalik kepada kisah ini, betulkah kesaktian ini ada? Seandainya Anda bertanya begitu kepada saya, pastilah jawapannya ada.

Ingatkah lagi mengenai kisah para nabi? Kalau tak ingat, cuba renungi beberapa ayat di bawah ini;


Berkatalah Ketua-ketua dari kaum Firaun: Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir. (Al-Araf, 7: 109)

Mereka berkata: Tangguhkanlah dia dan saudaranya (daripada dijatuhkan sebarang hukuman) serta utuslah ke bandar-bandar (di merata-rata negeri Mesir untuk) mengumpulkan (ahli-ahli sihir); Yang kelak akan membawa kepadamu segala ahli sihir yang mahir. Dan datanglah ahli-ahli sihir itu kepada Firaun lalu berkata: Sungguhkah kami akan beroleh upah, kalau kami dapat mengalahkannya? (Al-Araf, 7: 111 – 113)

Nabi Musa menjawab: Campakkanlah kamu (dahulu)! Maka apabila mereka mencampakkan (tongkat-tongkat dan tali masing-masing), mereka menyilap mata orang ramai dan menjadikan orang-orang itu merasa gerun, serta mereka melakukan sihir yang besar (keadaan dan caranya). Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: Campakkanlah tongkatmu! Maka tiba-tiba tongkat itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka). Maka sabitlah kebenaran (mukjizat Nabi Musa) dan batallah (sihir) yang mereka telah lakukan. (Al-Araf, 7: 116 – 118)


Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya). Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: Ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui. (Al-Baqara, 2: 102)


(Ingatlah) ketika Allah berfirman: Wahai Isa Ibni Mariam! Kenanglah nikmatKu kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan Rohulqudus (Jibril), iaitu engkau dapat berkata-kata dengan manusia (semasa engkau masih kecil) dalam buaian dan sesudah dewasa dan (ingatlah) ketika Aku mengajarmu menulis membaca dan hikmat pengetahuan, khasnya Kitab Taurat dan Kitab Injil dan (ingatlah) ketika engkau jadikan dari tanah seperti bentuk burung dengan izinKu, kemudian engkau tiupkan padanya, lalu menjadilah ia seekor burung dengan izinku dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak dengan izinku dan (ingatlah) ketika engkau menghidupkan orang-orang yang mati dengan izinKu dan (ingatlah) ketika Aku menghalangi Bani Israil daripada membunuhmu, ketika engkau datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat), lalu orang-orang yang kafir di antara mereka berkata: Bahawa ini hanyalah sihir yang terang nyata. (Al-Maeda, 5: 110)

Dan kalau Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) sebuah kitab (yang bertulis) pada kertas, lalu mereka memegangnya dengan tangan mereka, nescaya orang-orang yang kafir itu berkata: Ini tidak lain, hanyalah sihir yang terang nyata. (Al-Anaam, 6: 7)




Baca selanjutnya, Klik di sini...

Tuesday, 23 February 2016

Suami Isteri Curang!... Bhg 11

Berbalik pada kisah pertemuanku dengan suami beristerikan perempuan curang yang aku maksudkan, coretan ini adalah lanjutan kisahnya. Harap-harap coretan ini merupakan yang terakhir mengenainya. Maklum sahaja, malam ini, kisah itu tiba-tiba menyinggah di mindaku ketika ini.

Masih aku ingat, semasa menceritakan kepada suami beristerikan perempuan curang itu tentang kejadian yang telah berlaku dari sudut positif paparannya.

Semasa mindaku berfikir-fikir untuk menyusun ayat-ayat indah bersalut nasihat-nasihat berguna, tiba-tiba aku dikejutkan oleh ungkapan ABANG yang dilontarkan oleh suami beristerikan perempuan curang itu. 

Hah! ABANG ? …. Memang aku terkejut. Kenapa dia tiba-tiba memanggil aku Abang?

Bila mana dia menzahirkan panggilan ABANG kepadaku, sebenarnya adalah sedikit kenyamanan mengalir ditubuh badanku, apatah lagi di dalam jiwaku.

Pastilah perasaanku bercampur gembira dan sayu. Terdetik juga dihatiku mengatakan mungkinkah hati suami kepada isteri orang yang curang itu telah sejuk kembali?.

Adakah dia telah memahami segala penjelasan yang aku telah lontarkan kepadanya? Mungkinkah dia telah melihat kejujuran yang aku paparkan di setiap ayat-ayat penjelasan kepadanya, yang ada kala menyelitkan kata-kata nasihat untuk dijadikan panduan.

Entahlah, apa yang pasti, niatku ketika menjelaskan semuanya adalah dengan penuh pengharapan agar dosa-dosa yang aku tidak sengajakan akan terhapus. Itu memang matlamat mengapa aku ingin bertemu dengannya.

Hakikatnya, panggilan ABANG itu dizahirkannya kepadaku adalah kerana ingin memberitahu sesuatu. Oh ya, hampir pula aku terlupa…. sebenarnya, semasa aku menjelaskan peristiwa pertemuanku dengan isterinya satu persatu, kadang juga sesekali terungkap perkataan ADIK kepadanya.

Aku merasakan ungkapan adik itu lebih sesuai untuknya kerana selepas berkenalan dan mengetahui yang dia lebih muda berbanding diriku.

Tak sangka pula dia membalasnya dengan memanggilku ABANG pula.

Ketika itu, aku sememangnya bersyukur kehadrat NYA kerana berjaya mengatakan sesuatu yang dapat mententeramkan jiwanya, jiwa seorang suami beristerikan perempuan curang.

Memang aku khuatir juga andai berlaku krisis yang berpanjangan antara aku, suami dan isteri curang itu. Apatah lagi aku sememangnya mengetahui bahawa mereka sudah ada titisan kasih sayang, seorang anak perempuan yang baru berusia dua tahun setengah ketika itu.

Berbalik pada panggilan Abang tadi, rupa-rupanya dia ingin memberitahu sesuatu kepadaku. Sesuatu yang amat-amat mengejutkan aku sebenarnya. Sememangnya aku tidak menyangka yang dia, suami beristerikan perempuan curang itu menzahirkan dari mulutnya ayat seperti itu.

Anda nak tahu apa yang dikatakannya kepadaku?

Memang aku terkejut mendengar ungkapannya. Bukan hanya terkejut, malahan terperanjat pun ada sebenarnya, tetapi hanya dalaman jiwaku sahaja yang merasakannya.

Seperti biasa, fizikalku cuba mengawal suasana agar ternampak bersahaja seolah-olah hatiku tabah mendengar satu persatu keluhan dari mulutnya.

Ungkapan ayat yang diutarakannya kepadaku memang masih segar dimindaku sehingga kini. Sebab itulah aku mencoretkan di sini untuk tatapan Anda. Moga-moga Anda akan memahaminya, seterusnya berhati-hati di dalam mencari-cari jodoh sendiri, terutama ketika Anda melayari bahtera perkahwinan sendiri.

Ada baiknya juga aku beritahu kepada Anda ayat yang dizahirkan oleh suami beristerikan perempuan curang itu kepadaku ketika itu. Ayatnya berbunyi seperti ini:

“ABANG, sebenarnya saya bersama dia dah lama. Lebih kurang tujuh tahun kami hidup sebagai suami isteri, walaupun kami sebenarnya belum bernikah…”

MASYALLAH! Memang aku terkejut selepas mendengar penjelasannya seperti di atas.

Maklumlah, bagi diriku, perbuatan seperti itu amat-amat tidak wajar dilakukan. Apatah lagi menzahirkannya kepada orang lain yang baru dikenalinya, seperti diriku. Memang tidak sepatutnya ungkapan itu dizahirkannya kepadaku.

Walaupun dalam keadaan terkejut mendengar ayat itu dilontarkannya kepadaku, seterusnya aku menggapai tangannya yang sedang terampai di atas meja ketika itu.

Ketika tanganku menapak di atas tanggannya, cepat-cepat aku memberitahu agar usahlah diteruskan kisahnya yang sudah berlalu.

Biarlah ia menjadi lipatan sejarah dan peliharalah maruah isteri, lebih-lebih lagi mengelakkan perbuatan yang boleh memburuk-burukkan peribadi isteri sendiri.

Memang ada juga kewajarannya bertindak jujur seperti itu, tetapi dalam hal-hal begitu, dia, perlulah memelihara maruah diri, apatah lagi maruah isteri sendiri.

Selesai sahaja aku menyatakan seperti itu, dapat aku perhatikan dahi suami beristerikan perempuan curang itu berkerut-kerut sedikit disertai lontaran pandangan matanya yang berkaca-kaca kepadaku.

Belum sempat kami mengakhiri perbualan itu, tiba-tiba telefon bimbit suami beristerikan perempuan curang itu berbunyi. Dia mengatakan bahawa isterinya sedang menelefon dan aku menganggukkan kepala tanda bersetuju untuk kami menghentikan perbualan seketika.

Jam ditanganku ketika itu sudah melebihi pukul 7.30 pm, namun restoran mamak itu masih dipenuhi dan sesak dengan penggemar roti canai yang sememangnya menjadi kegemaranku.

Roti canai yang dicecah dengan campuran kuah dal dan kari serta disirami tambahan teh tarik untuk dinikmati, itulah hidangan kegemaranku...


Oppsss… Nanti aku sambung lagi cerita ini. Nampaknya macam belum boleh diakhiri ketika ini…

(@___@)




Baca selanjutnya, Klik di sini...

Pesanan Isteri Kepada Suami...

Petang ini saya kongsikan dengan Anda sebuah kisah suami isteri. Cerita hiburan untuk Anda baca semasa berseorangan, semasa ada kelapangan masa... Semoga Anda sentiasa ceria hendaknya...

Sebentar tadi, saya baru selesai makan tengahari, jadi ada kesempatan masa untuk melakarkan sebuah kisah. cerita yang saya pernah baca dulu-dulu, mengenai pasangan suami isteri. Mereka menggunakan kemahiran bahasa Inggeris, untuk berhujah. Baca sahaja paparannya di bawah:


******

Seorang suami berbual dengan isterinya, lalu keluarlah topik ini…

Suami : Sal, seorang lelaki ni sebenarnya kena kahwin tiga..., barulah lengkap isterinya.

Isteri : Kenapa pula macam itu bang?

Suami : Cuba Sal terjemahkan perkataan ni ke dalam bahasa Inggeris. "Satu" is?

Isteri : One.

Suami : "Dua" is?

Isteri : Two.

Suami : "Tiga" is?

Isteri : Three.

Suami : Haaa..... kan, is-three = tiga. Barulah betul. Kan Sal…?

Isteri : Oooo.. tapi Abang Din kena tahu juga bahasa Inggeris ni ada kaedah penggunaannya. kalau seorang dikenali "singular" dan "plural" untuk yang ramai.

Suami : Macamana tu Sal?

Isteri : Kalau satu buah kereta kita sebut, "car". Kalau dua atau lebih kereta, kita sebut "cars".

Suami : Ooo ye, betul tu, kalau banyak, kena tambah S.

Isteri : Nah, Kalau satu abang "mampu", kalau dua atau lebih sudah, abang ……?

Suami : Mampus…

Sejak kejadian itu, tiada lagi gurauan mahupun perbualan tentang hal berkenaan di antara mereka...


(@___@)



Kisah Suami Tertekan henfon
****************************

ISTERI: Kenapa abg call?

SUAMI: Abg tertekan.

ISTERI: Abg ok? Abg ada masalah apa? Citer la pada saya...

SUAMI: ???   Saya tertekan saja... mana ada masalah apa apa...

ISTERI: Kalau abg ada masalah cerita la....

SUAMI: Masalah apa pula nie... abg ok... abg cuma tertekan saje...

ISTERI: Ye la... kalau abg tertekan.. abg kena ceritala pada saya...

SUAMI: Tertekan pun kena cerita ke?

(Suami cuba menerangkan yang dia tertekan handset lalu ter-call isterinya)



Kisah Ikut Suami
*****************
SUAMI: Nak makan mane sayang?
ISTERI: Ikut abang lah..
SUAMI: MCD?
ISTERI: Tak best..
SUAMI: Pizza?
ISTERI: Tak suke..
SUAMI: KFC?
ISTERI: Takde selera..
SUAMI: Habis tu nak makan mane?
ISTERI: Ikot abang la..
SUAMI: (Dalam hati) Errmmm, pompuan nie nak makan kaki agaknya...














Baca selanjutnya, Klik di sini...

Monday, 22 February 2016

Wanita Selembut Sutera, Perlu Pelihara Sebaiknya...

Lakaran yang saya paparkan di bawah adalah antara lukisan hati yang pernah saya hasilkan untuk tatapan Isteriku Tercinta dahulu. Dek berbincang-bincang dengan sahabat lama sebentar tadi melalui aplikasi whatsapp, terdorong pula saya menyelongkarnya kembali. Saya ingin kongsikan dengannya, Sahabat lama saya, Suriani namanya... tauke kek popular, sudah ramai pelajar berguru dengannya (^___^)

Lakaran yang saya kongsikan dengannya memaparkan begini;


Baru sebentar tadi aku menghantar sms kepadanya yang berbunyi

I LOVE YOU...
I LOVE YOU...
I LOVE YOU...

Entahlah, apa kena pula angin aku petang-petang begini terfikir menghantar sms seperti itu. (^___^)

Yang pasti, memang terkadang aku menghantar sms berbunyi seperti itu. Bukanlah selalu, tetapi kadang-kadang sahaja, itupun bilamana aku merasa amat merinduinya...

Sebenarnya tengahari tadi selepas solat jumaat, aku telah makan tengahari bersamanya. Kalau ada kelapangan, pasti akan aku makan dengannya. Itu sudah pasti kerana aku memang mengaturkannya begitu.

Kecualilah ada hal-hal tertentu yang aku tidak dapat elakkan, maka aku akan beritahu kepadanya. Itulah sebenarnya diriku yang sedang bercinta dengan wanita yang aku kasihi dan sayangi ini.

Sedang aku minum petang di dalam ofisku ketika ini jam menunjukkan pukul 4.50 petang, aku terasa amat merinduinya pula. Sebab itulah aku menghantar sms yang berbunyi seperti ini

I LOVE YOU...

I LOVE YOU...

I LOVE YOU...

Memang aku amat-amat mengasihi dan menyayanginya.

Kebiasaanya, bila aku berehat-rehat di waktu petang begini, akan adalah rakan-rakan menemaniku, tetapi petang ini, tiada pula yang sudi meluangkan masa mereka untuk menemaniku berehat-rehat seketika, sebelum balik ke rumah.

Barangkali mereka terlalu sibuk dan ada urusan lain, sebab itu tidak dapat meluangkan masa bersama-sama duduk denganku. Tetapi tak mengapalah, sebab aku mengambil keputusan untuk duduk sahaja di dalam ofisku ini sambil-sambil bercerita dengan Anda...

Petang ini aku minum segelas nescafe 3 in 1 yang dibekalkan oleh wanita yang aku kasihi dan sayangi itu. Katanya mudah disediakan. Begitulah caranya menjaga makan dan minumku...

ermmm... Entahlah apa pula yang akan difikirkannya nanti bila menerima sms itu petang ini.

Adakah dia akan tertanya-tanya dan terfikir apa sudah terjadi kepada aku ketika ini? Atau barangkali dia akan gembira menerimanya? 

Memanglah aku tidak pasti. Mudah-mudahan dia akan suka menerimanya nanti.

Kebiasaanya bila aku menghantar sms begitu, dia akan membalasnya dengan segera sambil memberikan sesuatu yang membuatkan hati aku juga merasa riang gembira. (*___*)

Memang aku tidak tahu apa reaksinya selepas membaca sms itu petang ini.

Sehingga kini, aku masih belum menerima sebarang balasan sms darinya lagi. Akan aku beritahu apabila mendapat smsnya itu nanti.

Hahhh! Panjang umur, sampai pun balasan sms darinya yang berbunyi....

Opsss....Tak perlulah Anda tahu sebab itu rahsia aku dengannya. Heheheeee....

Apa yang pasti, dia memang aku kasihi dan sayangi. Dialah wanita yang aku namakan sebagai Isteriku Tercinta.

Moga-moga cinta yang aku jalinkan dengannya akan mendapat keredhaan dari NYA jua, In Sha Allah...



Baca selanjutnya, Klik di sini...