Monday, 8 February 2016

Suami Isteri Curang! Pengalaman Berguna

Kali ini aku mengisahkan pengalaman hidupku mengenai seorang Isteri yang cuba bertindak curang. Isteri orang yang berusaha menagih kasih cinta dariku. Aku terdorong melakarkannya di sini selepas bersembang-sembang dengan sahabat lama semalam. 

Sahabat lama seorang wanita, yang masih menyerlah keayuannya, anggun berkarisma. Ku menamakan dia Suria Hatiku. Kami berchit chat melalui aplikasi whatsapp semalam sehingga hampir pukul 1.00 pagi. Bercerita-cerita pengalaman hidup yang telah dilalui, pahit manis kehidupan dan kisah cinta, entah bagaimana, terimbau pula kenangan ini, Isteri orang berlaku curang.


Kisah itu betul-betul terjadi di dalam hidupku, iaitu sebelum cerita brother yang aku telah kisahkan sebelum ini di dalam contengan bertajuk Gelora Nafsu, Suami Isteri Curang.


Kisah ini aku lakarkan kepada Anda kerana ada inti ikhtibar di dalamnya. Ia berlaku ketika aku berumur 31 tahun.


Walaupun kisah ini negatif, tetapi aku lebih terdorong melihatnya sebagai sesuatu yang positif, kerana peristiwa itu telah mendorong diriku agar berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan jodohku sesegera yang mungkin, supaya peristiwa begitu tidak berulang buat kali ketiga.


Peristiwa yang aku kisahkan ini merupakan kali kedua menerjah diriku. Aku terdorong menceritakan peristiwa ini kepada Anda kerana banyak yang aku telah pelajari mengenainya. Sebab itulah aku kongsi dengan Anda. Terima kasih tidak terhingga aku ucapkan kepada Anda kerana masih sudi menelaah contengan-contenganku di sini, yang tidaklah seberapa.

Sebenarnya sebelum aku melakarkannya di sini, mindaku telah memutuskan untuk menceritakannya nanti di akhir pengkisahanku berkaitan pengalaman-pengalamanku memcari jodoh. Kisah yang aku ingin kongsikan dengan sahabatku saudara Jo, lelaki tampan yang seksi. 

Usahlah Anda terkejut menelaah kisahku ini kerana ia memang betul-betul terjadi di dalam hidupku. Kisah ini berlaku semasa aku sudah di alam pekerjaan dan sudah mempunyai pendapatan sendiri, berkereta sendiri, berpakaian segak bergaya.

Namun, disebalik itu semua, aku bersyukur peristiwa itu ditimpakan di dalam hidupku kerana ia telah mendidik aku sedikit ilmu mengenai perasaan seorang wanita yang bergelar Isteri.

Memang ia telah mengajar aku sesuatu. Barangkali sebagai persediaan untukku sebelum melayari bahtera perkahwinanku. Syukur Alhamdulillah, yang tidak terhingga kepada NYA jua kerana memberikan aku pelajaran seperti ini, setidak-tidaknya aku berhati-hati semasa melayarkan bahtera perkahwinan sekarang ini, iaitu bergelar sebagai seorang suami...



Baca selanjutnya, Klik di sini...

Sunday, 7 February 2016

Wanita Istimewa, Ada Rahsia

Coretan ini aku khususkan untuk Wanita. Nama yang amat istimewa di dalam kehidupan ini. Lebih-lebih lagi wanita yang bergelar Ibu atau Isteri.

Isteri adalah kurniaan Tuhan yang tiada tandingannya di dalam kehidupan ini.


Sememangnya wanita dizahirkan dalam kehidupan ini adalah kerana belas ehsan Tuhan, terhadap lelaki. Memandangkan lakaran ini mengenai wanita, ada juga baiknya difahami asal-usul kejadian mereka, yang disebut sebagai Hawa.

Hawa adalah seorang wanita yang telah dihadirkan oleh Tuhan untuk menemani kehidupan Adam yang sedang keseorangan. 

Ramai beranggapan asal-usul kejadian Hawa adalah daripada tulang rusuk lelaki, bernama Adam. Betulkah begitu?


Pandangan itu seolah-olah telah menjadi suatu yang benar walaupun hakikatnya tiada nas shahih di dalam Kitab Panduan Kehidupan, Kitab Al-Quran. Sebenarnya wanita sangat mulia diciptakan oleh Tuhan, sebagaimana Adam diciptakan.

Sebab itulah aku melakarkannya di sini. Lebih-lebih lagi pagi tadi rakan-rakan telah berbincang tentang wanita dan poligami. Perbincangan alam maya, aplikasi whatsapp namanya. (*___*)

Memang aku amat mengasihi wanita, terutama wanita bernama Isteriku Tercinta. Begitu juga wanita bergelar Ibu, seorang wanita penuh limpahan kasih sayang. Memang aku mengasihi dan menyayangi mereka yang bernama wanita.


Pastinya, wanita bukanlah diciptakan dari tulang rusukku. Memang bukan begitu kejadian mereka. Aku tidak memaksa Anda turut mempercayai kefahamanku ini. Kelak taqlid namanya, ikut-ikutan sahaja. Merbahaya begitu...

Asal kejadian wanita bukanlah daripada tulang rusuk lelaki, tetapi daripada jiwa yang satu... 


Perlukah aku menerangkannya dengan lebih terperinci?

Baiklah, kerana kasihku kepada Anda, ada juga baiknya barangkali aku kongsikan dengan Anda kefahaman ini...

Sebenarnya nas yang mengatakan bahawa perempuan diciptakan daripada tulang rusuk lelaki adalah disokong daripada teks-teks kitab agama nasrani. Di dalam bible ada dikisahkan mengenai penciptaan wanita itu daripada tulang rusuk lelaki;

“… tetapi baginya sendiri ia tidak menjumpai penolong yang sepadan dengan dia. Lalu Tuhan membuat manusia itu tidur nyenyak; ketika ia tidur, Tuhan mengambil salah satu rusuk dari padanya, lalu menutup tempat itu dengan daging. Dan dari rusuk yang diambil Tuhan dari manusia itu, dibangun-Nyalah seorang perempuan, lalu dibawa-Nya kepada manusia itu. Lalu berkatalah manusia itu: ‘Inilah dia, tulang dari tulangku dan daging dari dagingku. Ia akan dinamai perempuan, sebab ia diambil dari laki-laki.’ Sebab itu seorang laki-laki akan meninggalkan ayahnya dan ibunya dan bersatu dengan isterinya, sehingga keduanya menjadi satu daging. Mereka keduanya telanjang, manusia dan isterinya itu, tetapi mereka tidak merasa malu. (Kejadian 2:20-25)

Di dalam Al-Quran pula menjelaskannya seperti ini; 

“Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari jiwa yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu." (An-Nisa, 4:1)

Ayat Al-Quran di atas memberikan makna bahawa lelaki dan wanita sememangnya berasal daripada jiwa yang sama iaitu dari satu jiwa, terciptalah pasangan bagi Adam, bernama Hawa. Di dalam kitab tafsir Sayyid Qutb, dinyatakan masing-masing merupakan dua bahagian yang tidak mungkin dipisahkan.

Sebab itu aku amat mengasihi Isteriku Tercinta kerana dialah pelengkap kepada jiwa yang aku ada. Moga-moga perjalanan hidup yang penuh liku-liku ini akan beroleh destinasi hakiki nanti. Destinasi Syurga, Kehidupan abadi, penuh kebahagian dan berkekalan. InShaAllah.


Di dalam hal ini, moga-moga aku juga tidak akan lupa pesanan Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang memperkatakan tentang wanita;

“Jagalah kaum wanita, sesungguhnya wanita diciptakan dari tulang rusuk dan sesungguhnya yang paling bengkok dari tulang rusuk itu adalah yang teratas, maka jikalau engkau berusaha meluruskannya engkau akan mematahkannya dan jika engkau membiarkannya ia akan kekal bengkok, maka jagalah kaum wanita (dengan baik)”.

Bentuk lain hadis tersebut dinyatakan;

"berwasiatlah/nasihatilah kepada perempuan-perempuan kalian dengan kebaikan, sebab mereka diciptakan dari tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang paling atas. Jika kalian memaksa atau berkeras untuk meluruskannya, niscaya ia akan patah. Namun jika kalian biarkan, mereka akan senantiasa bengkok, maka berwasiatlah/nasihatilah dengan kebaikan kepada perempuan-perempuan." (H.R. Bukhari&Muslim)

Hadis diataslah yang telah digunakan sebagai sandaran bahawa wanita itu asal kejadiannya adalah daripada tulang rusuk lelaki. Sememangnya aku tidak menyanggah pemahaman itu kerana dalam kehidupan ini harus dilihat pelbagai dimensi pandangan.

Sebab itu Anda juga boleh gunakan hadis di atas sebagai sumber tafsiran. Sememangnya Tuhan mengetahui segala-gala yang tersembunyi di dunia ini.

Yang pasti, hadis di atas memberi pesanan kepada lelaki agar berhati-hati semasa bersama-sama wanita kerana kekerasan tidak akan memberikan kesan yang baik kepada kedua-duanya. Begitu juga andai terlalu berlembut dengan mereka, pasti liku-liku kehidupan yang dilalui akan terpesong arah haluannya.

Sebab itu di dalam hubungan lelaki-wanita, lelaki perlu melakukannya secara berhemah. 

Sememangnya wanita perlu ditegur atau mungkin dimarahi, ibarat Ibu yang menegur atau memarahi Anak-Anaknya.


Disebalik itu, harus juga diketahui bahawa Anak-Anak yang memarahi Ibunya kelak tidak akan mengecapi Syurga... 


Sampai begitu sekali gambaran betapa hebatnya Insan bernama Wanita. Dia berupaya mengakhirkan kehidupan seorang lelaki sama ada di Syurga atau barangkali di Neraka.




Baca selanjutnya, Klik di sini...

Wahai Kekasih, Kaulah Segalanya... Mengimbau Kenangan Lalu

Aku bukanlah seorang yang gemar membaca novel. Memang bukan!. Apa lagi novel-novel berkisar cinta sesama manusia. Aku tidak pernah membacanya, dan kurang mahir berimaginasi begitu. 

Salah satu kegemaranku yang masih dipraktikkan sehingga kini ialah mendengar alunan lagu sentimental. Lebih-lebih lagi yang dilabelkan “Nasyid”. Memang itulah irama yang aku sukai. Mendengar nasyid berirama sentimental. 

Andai jiwaku bergelora ditimpa masalah, kekusutan, dan pelbagai perkara yang tidak menyenangkan, aku akan mendengar dendangan nasyid dan zikir-zikir pujian kepada NYA.

Alunan nasyid daripada saudara Nazrey Johani memang aku suka. Suara gemersiknya membuatkanku terasa tenang seketika, sambil-sambil berfikir perkara yang perlu dilakukan seterusnya di dalam kehidupan ini.

Oh ya, dulu masa belajar di universiti di peringkat Sarjana Muda Sains, aku adalah seorang penasyid, penyanyi utama. Sekejap sahaja sebenarnya. Selepas beberapa ketika, aku menjadi pemalu, lalu berhenti, walaupun dikatakan memiliki suara suprano.

Aku berhenti kerana ada gadis yang tertawan bila mendengar alunan suaraku. Cehhh! Heheheee... Memang betul. Itulah alasannya. Aku berhenti bernasyid dan tidak mengasah bakat yang dimiliki itu, dek sifat pemaluku.

Walaupun berhenti, aku tetap bersama rakan-rakan lain menubuhkan sebuah kumpulan nasyid di universiti dahulu. Perananku di belakang tabir sahaja. Kami berjaya menghasilkan dua buah album nasyid. Ketika itu kumpulan nasyid Raihan belum lagi muncul, begitu juga kumpulan nasyid Rabbani. Memang belum ada. Yang ku ingat, kumpulan nasyid Nada Murni dan kumpulan nasyid The Zikr.

Sebenarnya tujuan kumpulan nasyid kami wujudkan di universiti dahulu bukanlah semata-mata bernasyid. Memang bukan. Ada yang lebih utama kami lakukan dengan wadah itu. Tak perlulah aku menjelaskannya di sini. Itu kisah perjuangan di dalam wadah. Mentarbiyah.

Peristiwa manis yang aku ingin kongsikan di sini ialah kami telah berjaya menghasilkan dua buah album nasyid. Kenangan itu memang cukup indah di dalam hidupku, iaitu semasa belajar di universiti dahulu. Sebenarnya kedua-dua kaset nasyid yang saya maksudkan sudah tiada di dalam simpananku. Maklumlah, sudah melebihi 25 tahun peristiwa itu berlaku. Aku sendiri tak ingat di mana kaset rakaman itu disimpan.

Antara CD Nasyid yang aku gemari berjudul ”Nasyid Nostalgia Memori The Zikr”, alunan suara daripada saudara Nazrey Johani.

Bila aku mendengar alunan nasyid di dalam CD itu, teringat pula sebuah kaset lama daripada kumpulan nasyid The Zikr. Kaset itu telah dihadiahkan oleh seorang gadis semasa belajar di universiti dahulu. Albumnya berjudul “Secerah Pawana”.

Masih aku ingat tajuknya kerana penasyidnya adalah saudara Nazrey Johani, daripada kumpulan The Zikr, sebelum nama kumpulan itu berubah menjadi kumpulan nasyid Raihan. Alunan nasyid di dalam album Secerah Pawana memang cukup indah.

Malam ini, bila mendengar CD album Nostalgia Memori The Zikr, aku cukup tersentuh. Nasyid yang aku paling suka dengar ialah ”Wahai Kekasih, Kaulah Segalanya”. Aku tidak berlakon mengatakan bahawa air mata bergenang dikelopak ketika mendengar alunan nasyid Wahai Kekasih, Kaulah Segalanya. 

Genangan air mata itu bukanlah bermaksud bersedih, tetapi mengingati Kekasih NYA yang luhur keperibadiannya memiliki akhlak mulia.

Saya sebenarnya sedang berusaha menggapai keperibadian Baginda agar syafaatnya kelak melindungiku di dalam kehidupan seterusnya. Selawat buat junjungan Rasulullah SAW. 




Baca selanjutnya, Klik di sini...

Saturday, 6 February 2016

Klimaks Kehidupan, Orang Berjaya

Ramai beranggapan orang yang kaya adalah orang berjaya. Begitu jugalah konon orang yang berpangkat besar, mereka dianggap sebagai orang yang berjaya kerana mempunyai kuasa.

Seandainya soalan begitu ditanya kepada saya, adakah orang-orang kaya dan berkuasa boleh dianggap berjaya, saya akan mengiyakannya sahaja.

Betul.... Mereka yang kaya dan berpangkat besar boleh dianggap sebagai orang-orang yang telah berjaya. Tetapi ingat! Kejayaan sedemikian sementara sahaja sebenarnya. Ia tidak akan kekal selama-lamanya.

Realitinya, mereka yang mengecapi kejayaan sedemikian, kelak akan mati ditelan bumi.

Belum tentu selepas kehidupan duniawi ini, mereka juga mengecapi kejayaan. Belum tentu, memang belum tentu.

Begitu juga mereka yang telah gagal mengecapi kekayaan dan kekuasaan. Mereka bukanlah gagal sepenuhnya dalam kehidupan ini. Kegagalan hidup yang dialami sekarang, belum tentu boleh dianggap sebagai suatu kegagalan. Belum!

Yang gagal sekarang sememangnya masih berpeluang untuk mengecapi kejayaan. Kejayaan yang lebih indah, dan berkekalan. 

Itupun kalau Anda mahu berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukannya, bukan hanya sambil lewa sahaja membuatnya. Untuk Anda menggapai kejayaan yang sebenar-benarnya, perjalanan hidup ini harus mengarah kepada NYA.

Kejayaan selepas kehidupan dunia tiada siapa yang mengetahui, kecuali DIA, Tuhan Maha ESA, Berkuasa di atas segala-galanya. DIA yang Maha Pencipta.

Belum tentu selepas kehidupan duniawi orang-orang yang telah berjaya akan mengecapi kejayaan. Begitu juga orang-orang yang gagal sekarang, belum tentu akan gagal selama-lamanya. Itu realiti yang harus bersama kita sedari.

Namun, suka juga saya memberitahu bahawa orang-orang yang berjaya ada ciri-cirinya. Ia dinyatakan di dalam Kitab Petunjuk Kehidupan manusia iaitu Al-Quran, antaranya ialah;

Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar; maka sesiapa yang berat timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Al--Araf, 7:8)

Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya. (Al-Baqara, 2: 5)

Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya. (Al-Maidah, 5: 100)


Sebenarnya banyak lagi kriteria orang-orang berjaya, yang telah dinyatakan di dalam Kitab Petunjuk Kehidupan itu.

Marilah bersama-sama menyelak helaiannya satu-persatu. In Sha Allah, akan muncullah cahaya NYA untuk menerangi perjalanan kehidupan ini. Sama-samalah kita berdoa, agar kelak tergolong diantara yang Berjaya. Bukan hanya berjaya di dunia, tetapi juga mengecapi kejayaan untuk selama-lamanya, In Sha Allah.

Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu? Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu. Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya. (Al-Araf, 7 :69)


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Gelora Nafsu... Suami Isteri Curang!

Kali ini aku kongsikan mengenai kisah seorang ”brother” yang telah memberitahu kepadaku tentang kisah silamnya beberapa tahun yang lalu. 


Aku tergamam dan kelu lidah bila mana mendengar kisah yang diceritakannya kepadaku. Sungguh! Aku tergamam dan kelu lidah saat dia memberitahu pengalamannya mengenai perlakuan seperti tajuk di atas. Isteri dan Suami yang Curang!.


Hari ini, aku kongsikan kisahnya agar dapatlah dijadikan ikhtibar. Moga-moga bermanafaat untuk renungan bersama. Itu yang telah aku janjikan kepadanya. 


Dia menceritakan kisahnya kepadaku semasa kami bersembang di suatu tempat yang amat mententeramkan jiwa dan menenangkan perasaan. Nak tahu tempatnya?


Surau.


Selepas solat maghrib berjemaah dengan brother itu, kami pun duduk bersembang-sembang sementara menunggu masuk waktu Isyak, seperti kebiasaannya. Dan entah bagaimana, tiba-tiba pula termasuk cerita kisah silamnya seperti tajuk di atas. 


Sejujurnya, bila mendengar kisahnya aku tergamam, tetapi dalam masa yang sama, aku juga bersimpati kepadanya. Akan aku ceritakannya kepada Anda kerana ada pengajarannya. Ketika mendengar luahan perasaannya, memang aku kusyuk mendengarnya, sambil-sambil menatap wajahnya yang tidaklah kacak mana. (*___*).


Ketika itu, hanya kami berdua sahaja berada di dalam Surau.


Cerita ini aku paparkan di sini dengan harapan kelak memberikan manafaat. Moga-moga keinsafan akan hadir di dalam diri, In Sha Allah. 


Pada mulanya, aku bersama brother itu sekadar bersembang-sembang mengenai penyelidikan yang sedang kami lakukan. Dan ketika itu aku menyelitkan pertanyaan mengenai keluarganya di kampung. Dia memang ada memberitahu kepadaku bahawa isterinya sedang terlantar sakit di kampung dan  sedang ditemani seorang kiyai yang berusaha mengubatinya. Rupa-rupanya pertanyaanku tidaklah terhenti di situ, soalanku itu telah menyelongkar kisah silamnya yang curang terhadap isterinya dan juga isteri orang lain. 


Brother yang aku kisahkan ini merupakan seorang yang baik dan suka bergurau. Memang dia tidaklah handsome, tetapi perilakunya membuatkan orang senang dengannya. Peramah dan Budiman. Itulah gelaran yang dapat aku beritahu mengenainya.


Di sebalik wajahnya yang periang, ramah dan suka bergurau senda, rupa-rupanya jiwanya sedang menyembunyikan kisah hitam di sebaliknya. Dia meluahkan kisah silamnya, mengenai tajuk di atas dengan harapan untuk dijadikan suri teladan. Untuk pedoman hidupku, menurutnya. Dan kini, aku kisahkan pula kepada Anda. Mudah-mudahan Anda juga terkesan bila mana menelaahnya. 


Oppsss... tak sempat pula aku kisahkannya sekarang, nantilah ya... Nak peluk isteri dulu (^___^)






Baca selanjutnya, Klik di sini...