Sunday, 7 February 2016

Wanita Istimewa, Ada Rahsia

Coretan ini aku khususkan untuk Wanita. Nama yang amat istimewa di dalam kehidupan ini. Lebih-lebih lagi wanita yang bergelar Ibu atau Isteri.

Isteri adalah kurniaan Tuhan yang tiada tandingannya di dalam kehidupan ini.


Sememangnya wanita dizahirkan dalam kehidupan ini adalah kerana belas ehsan Tuhan, terhadap lelaki. Memandangkan lakaran ini mengenai wanita, ada juga baiknya difahami asal-usul kejadian mereka, yang disebut sebagai Hawa.

Hawa adalah seorang wanita yang telah dihadirkan oleh Tuhan untuk menemani kehidupan Adam yang sedang keseorangan. 

Ramai beranggapan asal-usul kejadian Hawa adalah daripada tulang rusuk lelaki, bernama Adam. Betulkah begitu?


Pandangan itu seolah-olah telah menjadi suatu yang benar walaupun hakikatnya tiada nas shahih di dalam Kitab Panduan Kehidupan, Kitab Al-Quran. Sebenarnya wanita sangat mulia diciptakan oleh Tuhan, sebagaimana Adam diciptakan.

Sebab itulah aku melakarkannya di sini. Lebih-lebih lagi pagi tadi rakan-rakan telah berbincang tentang wanita dan poligami. Perbincangan alam maya, aplikasi whatsapp namanya. (*___*)

Memang aku amat mengasihi wanita, terutama wanita bernama Isteriku Tercinta. Begitu juga wanita bergelar Ibu, seorang wanita penuh limpahan kasih sayang. Memang aku mengasihi dan menyayangi mereka yang bernama wanita.


Pastinya, wanita bukanlah diciptakan dari tulang rusukku. Memang bukan begitu kejadian mereka. Aku tidak memaksa Anda turut mempercayai kefahamanku ini. Kelak taqlid namanya, ikut-ikutan sahaja. Merbahaya begitu...

Asal kejadian wanita bukanlah daripada tulang rusuk lelaki, tetapi daripada jiwa yang satu... 


Perlukah aku menerangkannya dengan lebih terperinci?

Baiklah, kerana kasihku kepada Anda, ada juga baiknya barangkali aku kongsikan dengan Anda kefahaman ini...

Sebenarnya nas yang mengatakan bahawa perempuan diciptakan daripada tulang rusuk lelaki adalah disokong daripada teks-teks kitab agama nasrani. Di dalam bible ada dikisahkan mengenai penciptaan wanita itu daripada tulang rusuk lelaki;

“… tetapi baginya sendiri ia tidak menjumpai penolong yang sepadan dengan dia. Lalu Tuhan membuat manusia itu tidur nyenyak; ketika ia tidur, Tuhan mengambil salah satu rusuk dari padanya, lalu menutup tempat itu dengan daging. Dan dari rusuk yang diambil Tuhan dari manusia itu, dibangun-Nyalah seorang perempuan, lalu dibawa-Nya kepada manusia itu. Lalu berkatalah manusia itu: ‘Inilah dia, tulang dari tulangku dan daging dari dagingku. Ia akan dinamai perempuan, sebab ia diambil dari laki-laki.’ Sebab itu seorang laki-laki akan meninggalkan ayahnya dan ibunya dan bersatu dengan isterinya, sehingga keduanya menjadi satu daging. Mereka keduanya telanjang, manusia dan isterinya itu, tetapi mereka tidak merasa malu. (Kejadian 2:20-25)

Di dalam Al-Quran pula menjelaskannya seperti ini; 

“Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari jiwa yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu." (An-Nisa, 4:1)

Ayat Al-Quran di atas memberikan makna bahawa lelaki dan wanita sememangnya berasal daripada jiwa yang sama iaitu dari satu jiwa, terciptalah pasangan bagi Adam, bernama Hawa. Di dalam kitab tafsir Sayyid Qutb, dinyatakan masing-masing merupakan dua bahagian yang tidak mungkin dipisahkan.

Sebab itu aku amat mengasihi Isteriku Tercinta kerana dialah pelengkap kepada jiwa yang aku ada. Moga-moga perjalanan hidup yang penuh liku-liku ini akan beroleh destinasi hakiki nanti. Destinasi Syurga, Kehidupan abadi, penuh kebahagian dan berkekalan. InShaAllah.


Di dalam hal ini, moga-moga aku juga tidak akan lupa pesanan Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang memperkatakan tentang wanita;

“Jagalah kaum wanita, sesungguhnya wanita diciptakan dari tulang rusuk dan sesungguhnya yang paling bengkok dari tulang rusuk itu adalah yang teratas, maka jikalau engkau berusaha meluruskannya engkau akan mematahkannya dan jika engkau membiarkannya ia akan kekal bengkok, maka jagalah kaum wanita (dengan baik)”.

Bentuk lain hadis tersebut dinyatakan;

"berwasiatlah/nasihatilah kepada perempuan-perempuan kalian dengan kebaikan, sebab mereka diciptakan dari tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang paling atas. Jika kalian memaksa atau berkeras untuk meluruskannya, niscaya ia akan patah. Namun jika kalian biarkan, mereka akan senantiasa bengkok, maka berwasiatlah/nasihatilah dengan kebaikan kepada perempuan-perempuan." (H.R. Bukhari&Muslim)

Hadis diataslah yang telah digunakan sebagai sandaran bahawa wanita itu asal kejadiannya adalah daripada tulang rusuk lelaki. Sememangnya aku tidak menyanggah pemahaman itu kerana dalam kehidupan ini harus dilihat pelbagai dimensi pandangan.

Sebab itu Anda juga boleh gunakan hadis di atas sebagai sumber tafsiran. Sememangnya Tuhan mengetahui segala-gala yang tersembunyi di dunia ini.

Yang pasti, hadis di atas memberi pesanan kepada lelaki agar berhati-hati semasa bersama-sama wanita kerana kekerasan tidak akan memberikan kesan yang baik kepada kedua-duanya. Begitu juga andai terlalu berlembut dengan mereka, pasti liku-liku kehidupan yang dilalui akan terpesong arah haluannya.

Sebab itu di dalam hubungan lelaki-wanita, lelaki perlu melakukannya secara berhemah. 

Sememangnya wanita perlu ditegur atau mungkin dimarahi, ibarat Ibu yang menegur atau memarahi Anak-Anaknya.


Disebalik itu, harus juga diketahui bahawa Anak-Anak yang memarahi Ibunya kelak tidak akan mengecapi Syurga... 


Sampai begitu sekali gambaran betapa hebatnya Insan bernama Wanita. Dia berupaya mengakhirkan kehidupan seorang lelaki sama ada di Syurga atau barangkali di Neraka.



0 comments :

Post a Comment