Thursday, 11 February 2016

Suami Isteri Curang!... Bhg. 9

Sesampainya aku di restoran mamak yang dijanjikan, aku pun menelefonlah suami beristeri curang itu. Bertanya kepadanya adakah dia sudah sampai, dan sedang menunggu ku?. Tetapi, seperti biasa, soalan begitu dijawab olehnya dengan jawapan lazim “on the way” ke tempat yang dituju.

Sementara menunggu dia tiba, aku pun memesanlah kepada salah seorang pekerja di restoran mamak itu minuman kebiasaanku di situ iaitu teh tarik kaw-kaw rasanya.

Setelah minumanku hampir setengah ke bawah, akhirnya telefon bimbitku berdering dan memaparkan namanya. Deringan itu aku sambut dan jawab. Semasa berbual di dalam telefon ketika itu, aku dijelaskan warna baju dan seluar yang sedang dipakainya, begitu juga diriku melihat-lihat sekitar restoran pada masa itu.

Maklumlah pertama kali kami bertemu dan tidak pernah mengenali antara satu sama lain, ditambah pula keadaan ruang ketika itu yang penuh sesak dengan kehadiran insan-insan lain.

Akhirnya, dari kejauhan, dapat aku memerhatikannya berpakaian t-shirt dan seluar pendek paras lutut. Oh ya, dia juga memakai kaca mata bercermin gelap ketika itu.

Ermmm… kacak juga orangnya, lebih kacak dari aku barangkali. Begitulah bisikan di hatiku ketika itu. Heheheeee…

Bilamana aku mengangkat tangan dan dia juga memberikan isyarat bahawa dia sudah dapat mengecam diriku, akhirnya dia pun mendekati dan duduk semeja denganku. Itupun selepas kami berjabat tangan bersama-sama.

Memanglah aku dapat merasakan aliran aura dari tangannya ketika itu penuh dengan segala persoalan dan begitu juga dengan hatiku yang berdebar-debar dan tidak sabar-sabar menceritakan kisah sebenar bagaimana aku dan isterinya berkenalan.

Pada mulanya, perbualan kami dimulai dengan berkenal-kenalan antara satu sama lain. Walaupun wajahnya ternampak seolah-olah tidak selesa dan ingin terus menjurus ke arah persoalan yang sedang bermain di mindanya, manakala hatiku juga sedang meronta-ronta untuk berkata-kata, tetapi dalam masa yang sama, aku juga cuba berusaha menenangkan diriku ketika itu. Maklumlah, akukan lebih tua darinya.

Sebenarnya, sebelum berjumpa dengannya, aku merasa sedikit gusar pada awalnya, fikiranku menterjemah, seolah-olah orangnya seperti ahli gusti terkemuka, berbadan sado, gagah dan garang orangnya. Manalah tahu tiba-tiba dia marah, nahas aku jadinya...

Tetapi sangkaanku itu meleset sama sekali kerana dia lebih muda dariku sebenarnya. Umurnya ketika itu lebih kurang 28 tahun, berbanding diriku yang sudah menjangkau 31 tahun, tapi tak kahwin-kahwin lagi. Ermmm.. memang mereka, kahwin muda nampaknya...

(Coretan akan disambung lagi)


0 comments :

Post a Comment