Aku bukanlah seorang yang gemar membaca novel. Memang bukan!. Apa lagi novel-novel berkisar cinta sesama manusia. Aku tidak pernah membacanya, dan kurang mahir berimaginasi begitu.
Salah satu kegemaranku yang masih dipraktikkan sehingga kini ialah mendengar alunan lagu sentimental. Lebih-lebih lagi yang dilabelkan “Nasyid”. Memang itulah irama yang aku sukai. Mendengar nasyid berirama sentimental.
Andai jiwaku bergelora ditimpa masalah, kekusutan, dan pelbagai perkara yang tidak menyenangkan, aku akan mendengar dendangan nasyid dan zikir-zikir pujian kepada NYA.
Alunan nasyid daripada saudara Nazrey Johani memang aku suka. Suara gemersiknya membuatkanku terasa tenang seketika, sambil-sambil berfikir perkara yang perlu dilakukan seterusnya di dalam kehidupan ini.
Oh ya, dulu masa belajar di universiti di peringkat Sarjana Muda Sains, aku adalah seorang penasyid, penyanyi utama. Sekejap sahaja sebenarnya. Selepas beberapa ketika, aku menjadi pemalu, lalu berhenti, walaupun dikatakan memiliki suara suprano.
Aku berhenti kerana ada gadis yang tertawan bila mendengar alunan suaraku. Cehhh! Heheheee... Memang betul. Itulah alasannya. Aku berhenti bernasyid dan tidak mengasah bakat yang dimiliki itu, dek sifat pemaluku.
Walaupun berhenti, aku tetap bersama rakan-rakan lain menubuhkan sebuah kumpulan nasyid di universiti dahulu. Perananku di belakang tabir sahaja. Kami berjaya menghasilkan dua buah album nasyid. Ketika itu kumpulan nasyid Raihan belum lagi muncul, begitu juga kumpulan nasyid Rabbani. Memang belum ada. Yang ku ingat, kumpulan nasyid Nada Murni dan kumpulan nasyid The Zikr.
Sebenarnya tujuan kumpulan nasyid kami wujudkan di universiti dahulu bukanlah semata-mata bernasyid. Memang bukan. Ada yang lebih utama kami lakukan dengan wadah itu. Tak perlulah aku menjelaskannya di sini. Itu kisah perjuangan di dalam wadah. Mentarbiyah.
Peristiwa manis yang aku ingin kongsikan di sini ialah kami telah berjaya menghasilkan dua buah album nasyid. Kenangan itu memang cukup indah di dalam hidupku, iaitu semasa belajar di universiti dahulu. Sebenarnya kedua-dua kaset nasyid yang saya maksudkan sudah tiada di dalam simpananku. Maklumlah, sudah melebihi 25 tahun peristiwa itu berlaku. Aku sendiri tak ingat di mana kaset rakaman itu disimpan.
Masih aku ingat tajuknya kerana penasyidnya adalah saudara Nazrey Johani, daripada kumpulan The Zikr, sebelum nama kumpulan itu berubah menjadi kumpulan nasyid Raihan. Alunan nasyid di dalam album Secerah Pawana memang cukup indah.
Malam ini, bila mendengar CD album Nostalgia Memori The Zikr, aku cukup tersentuh. Nasyid yang aku paling suka dengar ialah ”Wahai Kekasih, Kaulah Segalanya”. Aku tidak berlakon mengatakan bahawa air mata bergenang dikelopak ketika mendengar alunan nasyid Wahai Kekasih, Kaulah Segalanya.
Genangan air mata itu bukanlah bermaksud bersedih, tetapi mengingati Kekasih NYA yang luhur keperibadiannya memiliki akhlak mulia.
Saya sebenarnya sedang berusaha menggapai keperibadian Baginda agar syafaatnya kelak melindungiku di dalam kehidupan seterusnya. Selawat buat junjungan Rasulullah SAW.
0 comments :
Post a Comment