Bila mana dia bersetuju untuk bersemuka dan berbicara denganku, akhirnya dia meminta aku menetapkan waktu dan lokasinya.
Bila-bila masa sahaja menurutnya dia akan melapangkan diri. Dia mahu menyelesaikannya dengan segera. Dia tidak mahu melambat-lambatkan pertemuan itu kerana dia juga ingin mengetahui apa sebenarnya yang telah terjadi.
Aku pun, memang tidak mahu melepaskan peluang yang ada, lalu menetapkan tempat dan tarikhnya supaya segera dapat bersemuka dengannya.
Maklumlah, hatiku juga meronta-ronta ingin berterus terang kepadanya. Aku tidak mahu terus-terusan bergelumang dengan dosa, walaupun hakikatnya sekadar berbual-bual biasa melalui panggilan telefon sahaja. Seumpama seorang kawan yang sekadar memberikan tazkirah sebenarnya.
Tetapi sejujurnya, ada jugalah timbul perasaan bersalut nafsu, berbisik-bisik di dalam hatiku. Tak perlulah aku menghuraikannya kepada Anda kerana sangat buruk paparanya. Bisikan daripada syaitan sebenarnya. Nafsu membara, adakala juga menyala-nyala.
Seolah-olahnya Isteri curang itu sedang membubuh sesuatu ke dalam kalbuku dan barangkali juga sanubarinya sedang dahaga sebenarnya. Kehausan untuk menikmati lelehan madu kasih sayang daripada seorang lelaki.
Syukur Alhamdulillah, yang tidak terhingga kepada Tuhan maha Berkuasa kerana sebelum kejadian ini berlaku, aku pernah mendengar peringatan Tuhan yang berbunyi seperti ini;
“Lelaki yang berzina tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik dan perempuan yang berzina itu pula tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman".(An-Nur, 24: 3)
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)". (Al-Isra, 17: 32)
Ayat-ayat itu telah menjadi benteng di dalam kehidupanku. Sebab itulah juga aku berusaha menghindarkan diri daripada bertemu dengan isteri curang itu. Aku amat takut sebenarnya menatap ayat-ayat itu kerana ia peringatan daripada Tuhan yang menguasai rahsia kehidupan ini.
Ayat itu juga amat bermakna di dalam hatiku, aku gunakannya untuk menyuluh perjalanan hidupku, khususnya bilamana memikirkan anak-anak yang menjadi penerus kehidupanku kelak.
Aku juga takut seandainya perbuatan terkutuk itu aku lakukan. Seperti yang aku telah nyatakan kepada Anda dahulu, usahlah marahkan diriku sekiranya Anda tidak bersetuju. Sememangnya aku tidak mampu, sememangnya aku lemah berbanding Anda semua.
Masih terngiang-ngiang di telingaku ketika membaca surah Yusuf, antara surah yang aku sering dengar dan telaah. Surah Yusuf menjadi kegemaranku lebih-lebih lagi bila dialunkan oleh Sheikh Misyari Rashed Alafasy (link).
Beliau adalah Qari yang paling aku gemari. Dendangan suaranya berupaya menusuk jauh ke dalam lubuk kalbuku. Apatah lagi alunan suaranya yang merdu itu aku iringi dengan menatap terjemahan kitab kehidupan, Al-Quran berbahasa melayu.
"Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa". (Yusuf, 12: 24)
Peristiwa yang telah aku lalui ini merupakan cabaran di dalam hidupku. Ia sedikit menyeronokkan dan pastilah juga ada keperitannya.
Opss… kenapa pula tiba-tiba aku berceramah agama ini? Heheheee
Berbalik pada tempat perjumpaan yang aku pilih? Geli hatiku bila mengingatkannya kembali malam ini. Nak tahu tempat yang aku pilih?
Lokasi yang terdapat ramai khalayak. Sebabnya, manalah tahu sesuatu yang buruk bakal terjadi, setidak-tidaknya adalah juga orang ramai membantu nanti. Lokasinya ialah Restoran Mamak yang sering aku kunjungi. Disitulah biasanya aku menjamu selera memakan roti canai berkuahkan campuran kari dan dal dengannya.
P/S: Jangan lupa untuk mendownload bacaan Sheikh Mishary Rashed Alafasy. Moga-moga adalah manafaatnya.
Sheikh Mishary Rashed Alafasy (link)
Tuesday, 9 February 2016
Suami Isteri Curang!... Bhg. 8
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 comments :
Post a Comment