Sunday, 7 February 2016

Wahai Kekasih, Kaulah Segalanya... Mengimbau Kenangan Lalu

Aku bukanlah seorang yang gemar membaca novel. Memang bukan!. Apa lagi novel-novel berkisar cinta sesama manusia. Aku tidak pernah membacanya, dan kurang mahir berimaginasi begitu. 

Salah satu kegemaranku yang masih dipraktikkan sehingga kini ialah mendengar alunan lagu sentimental. Lebih-lebih lagi yang dilabelkan “Nasyid”. Memang itulah irama yang aku sukai. Mendengar nasyid berirama sentimental. 

Andai jiwaku bergelora ditimpa masalah, kekusutan, dan pelbagai perkara yang tidak menyenangkan, aku akan mendengar dendangan nasyid dan zikir-zikir pujian kepada NYA.

Alunan nasyid daripada saudara Nazrey Johani memang aku suka. Suara gemersiknya membuatkanku terasa tenang seketika, sambil-sambil berfikir perkara yang perlu dilakukan seterusnya di dalam kehidupan ini.

Oh ya, dulu masa belajar di universiti di peringkat Sarjana Muda Sains, aku adalah seorang penasyid, penyanyi utama. Sekejap sahaja sebenarnya. Selepas beberapa ketika, aku menjadi pemalu, lalu berhenti, walaupun dikatakan memiliki suara suprano.

Aku berhenti kerana ada gadis yang tertawan bila mendengar alunan suaraku. Cehhh! Heheheee... Memang betul. Itulah alasannya. Aku berhenti bernasyid dan tidak mengasah bakat yang dimiliki itu, dek sifat pemaluku.

Walaupun berhenti, aku tetap bersama rakan-rakan lain menubuhkan sebuah kumpulan nasyid di universiti dahulu. Perananku di belakang tabir sahaja. Kami berjaya menghasilkan dua buah album nasyid. Ketika itu kumpulan nasyid Raihan belum lagi muncul, begitu juga kumpulan nasyid Rabbani. Memang belum ada. Yang ku ingat, kumpulan nasyid Nada Murni dan kumpulan nasyid The Zikr.

Sebenarnya tujuan kumpulan nasyid kami wujudkan di universiti dahulu bukanlah semata-mata bernasyid. Memang bukan. Ada yang lebih utama kami lakukan dengan wadah itu. Tak perlulah aku menjelaskannya di sini. Itu kisah perjuangan di dalam wadah. Mentarbiyah.

Peristiwa manis yang aku ingin kongsikan di sini ialah kami telah berjaya menghasilkan dua buah album nasyid. Kenangan itu memang cukup indah di dalam hidupku, iaitu semasa belajar di universiti dahulu. Sebenarnya kedua-dua kaset nasyid yang saya maksudkan sudah tiada di dalam simpananku. Maklumlah, sudah melebihi 25 tahun peristiwa itu berlaku. Aku sendiri tak ingat di mana kaset rakaman itu disimpan.

Antara CD Nasyid yang aku gemari berjudul ”Nasyid Nostalgia Memori The Zikr”, alunan suara daripada saudara Nazrey Johani.

Bila aku mendengar alunan nasyid di dalam CD itu, teringat pula sebuah kaset lama daripada kumpulan nasyid The Zikr. Kaset itu telah dihadiahkan oleh seorang gadis semasa belajar di universiti dahulu. Albumnya berjudul “Secerah Pawana”.

Masih aku ingat tajuknya kerana penasyidnya adalah saudara Nazrey Johani, daripada kumpulan The Zikr, sebelum nama kumpulan itu berubah menjadi kumpulan nasyid Raihan. Alunan nasyid di dalam album Secerah Pawana memang cukup indah.

Malam ini, bila mendengar CD album Nostalgia Memori The Zikr, aku cukup tersentuh. Nasyid yang aku paling suka dengar ialah ”Wahai Kekasih, Kaulah Segalanya”. Aku tidak berlakon mengatakan bahawa air mata bergenang dikelopak ketika mendengar alunan nasyid Wahai Kekasih, Kaulah Segalanya. 

Genangan air mata itu bukanlah bermaksud bersedih, tetapi mengingati Kekasih NYA yang luhur keperibadiannya memiliki akhlak mulia.

Saya sebenarnya sedang berusaha menggapai keperibadian Baginda agar syafaatnya kelak melindungiku di dalam kehidupan seterusnya. Selawat buat junjungan Rasulullah SAW. 




Baca selanjutnya, Klik di sini...

Saturday, 6 February 2016

Klimaks Kehidupan, Orang Berjaya

Ramai beranggapan orang yang kaya adalah orang berjaya. Begitu jugalah konon orang yang berpangkat besar, mereka dianggap sebagai orang yang berjaya kerana mempunyai kuasa.

Seandainya soalan begitu ditanya kepada saya, adakah orang-orang kaya dan berkuasa boleh dianggap berjaya, saya akan mengiyakannya sahaja.

Betul.... Mereka yang kaya dan berpangkat besar boleh dianggap sebagai orang-orang yang telah berjaya. Tetapi ingat! Kejayaan sedemikian sementara sahaja sebenarnya. Ia tidak akan kekal selama-lamanya.

Realitinya, mereka yang mengecapi kejayaan sedemikian, kelak akan mati ditelan bumi.

Belum tentu selepas kehidupan duniawi ini, mereka juga mengecapi kejayaan. Belum tentu, memang belum tentu.

Begitu juga mereka yang telah gagal mengecapi kekayaan dan kekuasaan. Mereka bukanlah gagal sepenuhnya dalam kehidupan ini. Kegagalan hidup yang dialami sekarang, belum tentu boleh dianggap sebagai suatu kegagalan. Belum!

Yang gagal sekarang sememangnya masih berpeluang untuk mengecapi kejayaan. Kejayaan yang lebih indah, dan berkekalan. 

Itupun kalau Anda mahu berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukannya, bukan hanya sambil lewa sahaja membuatnya. Untuk Anda menggapai kejayaan yang sebenar-benarnya, perjalanan hidup ini harus mengarah kepada NYA.

Kejayaan selepas kehidupan dunia tiada siapa yang mengetahui, kecuali DIA, Tuhan Maha ESA, Berkuasa di atas segala-galanya. DIA yang Maha Pencipta.

Belum tentu selepas kehidupan duniawi orang-orang yang telah berjaya akan mengecapi kejayaan. Begitu juga orang-orang yang gagal sekarang, belum tentu akan gagal selama-lamanya. Itu realiti yang harus bersama kita sedari.

Namun, suka juga saya memberitahu bahawa orang-orang yang berjaya ada ciri-cirinya. Ia dinyatakan di dalam Kitab Petunjuk Kehidupan manusia iaitu Al-Quran, antaranya ialah;

Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar; maka sesiapa yang berat timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Al--Araf, 7:8)

Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya. (Al-Baqara, 2: 5)

Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya. (Al-Maidah, 5: 100)


Sebenarnya banyak lagi kriteria orang-orang berjaya, yang telah dinyatakan di dalam Kitab Petunjuk Kehidupan itu.

Marilah bersama-sama menyelak helaiannya satu-persatu. In Sha Allah, akan muncullah cahaya NYA untuk menerangi perjalanan kehidupan ini. Sama-samalah kita berdoa, agar kelak tergolong diantara yang Berjaya. Bukan hanya berjaya di dunia, tetapi juga mengecapi kejayaan untuk selama-lamanya, In Sha Allah.

Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu? Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu. Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya. (Al-Araf, 7 :69)


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Gelora Nafsu... Suami Isteri Curang!

Kali ini aku kongsikan mengenai kisah seorang ”brother” yang telah memberitahu kepadaku tentang kisah silamnya beberapa tahun yang lalu. 


Aku tergamam dan kelu lidah bila mana mendengar kisah yang diceritakannya kepadaku. Sungguh! Aku tergamam dan kelu lidah saat dia memberitahu pengalamannya mengenai perlakuan seperti tajuk di atas. Isteri dan Suami yang Curang!.


Hari ini, aku kongsikan kisahnya agar dapatlah dijadikan ikhtibar. Moga-moga bermanafaat untuk renungan bersama. Itu yang telah aku janjikan kepadanya. 


Dia menceritakan kisahnya kepadaku semasa kami bersembang di suatu tempat yang amat mententeramkan jiwa dan menenangkan perasaan. Nak tahu tempatnya?


Surau.


Selepas solat maghrib berjemaah dengan brother itu, kami pun duduk bersembang-sembang sementara menunggu masuk waktu Isyak, seperti kebiasaannya. Dan entah bagaimana, tiba-tiba pula termasuk cerita kisah silamnya seperti tajuk di atas. 


Sejujurnya, bila mendengar kisahnya aku tergamam, tetapi dalam masa yang sama, aku juga bersimpati kepadanya. Akan aku ceritakannya kepada Anda kerana ada pengajarannya. Ketika mendengar luahan perasaannya, memang aku kusyuk mendengarnya, sambil-sambil menatap wajahnya yang tidaklah kacak mana. (*___*).


Ketika itu, hanya kami berdua sahaja berada di dalam Surau.


Cerita ini aku paparkan di sini dengan harapan kelak memberikan manafaat. Moga-moga keinsafan akan hadir di dalam diri, In Sha Allah. 


Pada mulanya, aku bersama brother itu sekadar bersembang-sembang mengenai penyelidikan yang sedang kami lakukan. Dan ketika itu aku menyelitkan pertanyaan mengenai keluarganya di kampung. Dia memang ada memberitahu kepadaku bahawa isterinya sedang terlantar sakit di kampung dan  sedang ditemani seorang kiyai yang berusaha mengubatinya. Rupa-rupanya pertanyaanku tidaklah terhenti di situ, soalanku itu telah menyelongkar kisah silamnya yang curang terhadap isterinya dan juga isteri orang lain. 


Brother yang aku kisahkan ini merupakan seorang yang baik dan suka bergurau. Memang dia tidaklah handsome, tetapi perilakunya membuatkan orang senang dengannya. Peramah dan Budiman. Itulah gelaran yang dapat aku beritahu mengenainya.


Di sebalik wajahnya yang periang, ramah dan suka bergurau senda, rupa-rupanya jiwanya sedang menyembunyikan kisah hitam di sebaliknya. Dia meluahkan kisah silamnya, mengenai tajuk di atas dengan harapan untuk dijadikan suri teladan. Untuk pedoman hidupku, menurutnya. Dan kini, aku kisahkan pula kepada Anda. Mudah-mudahan Anda juga terkesan bila mana menelaahnya. 


Oppsss... tak sempat pula aku kisahkannya sekarang, nantilah ya... Nak peluk isteri dulu (^___^)






Baca selanjutnya, Klik di sini...

Friday, 5 February 2016

Tina... Ilmumu Berguna

Lakaran pada malam ini aku dedikasikan buat sahabatku bernama Tina, seorang wanita tabah, anggun mempersona... luar biasa komunikasinya... terima kasih atas perkongsian pelbagai ilmu darimu...

Ilmu 1

Setiap insan yang diciptakan oleh yang Maha Pencipta pasti akan melakukan kesilapan!.

Kesilapan untuk memahami bahawa sememangnya mereka memiliki banyak kekurangan. Dari kekurangan itulah mereka akan mempelajari sesuatu perkara kerana sesungguhnya DIA sedang mengajarkan tentang erti kehidupan ini.

Pengajaran dari kesilapan yang dilakukan adalah merupakan satu ILMU. Dan ia amat bermanafaat apabila ILMU itu digunakan bukan sahaja untuk pedoman diri sendiri, tetapi juga untuk dikongsi bersama dengan seluruh umat manusia.

Mengapa? kerana kita adalah bersaudara. Dan ingatlah bahawa ILMU itulah yang bakal dibawa untuk dipersembahkan kepada-Nya.

Sebaik-baik kesilapan yang dilakukan adalah cepat-cepat memperbaikinya dan akan lebih bermakna seandainya selepas kesilapan itu dilakukan, cepat-cepat memohon pedoman dari-Nya, Tuhan Maha Pencipta.


Ilmu 2

Seandainya saya ada sebiji epal, dan Tina juga ada sebiji epal, bilamana kita bertukar epal, saya akan tetap memiliki sebiji epal dan Tina juga akan tetap mempunyai sebiji epal. Walaupun hakikatnya epal itu sudah berpindah tangan iaitu epal yang saya miliki kini adalah dari Tina dan epal yang Tina punyai kini adalah dari saya.

Tetapi, seandainya saya ada satu ilmu dan Tina juga ada satu ilmu, bilamana kita bertukar ilmu, saya yakin Tina akan memiliki dua ilmu dan begitu juga diri saya yang akan memperolehi dua ilmu.

Moga-moga adalah manafaatnya ungkapan ini untuk dicerna bersama di dalam minda.


Ilmu 3

Kebolehan akal manusia memang mengatasi segala-galanya. Akal berperanan penting di dalam membuat segala keputusan yang akan dilakukan. Kewujudan akal jugalah yang membezakan di antara Insan dengan lain-lain ciptaan-NYA. 

Setiap insan yang menggunakan akal sebaik-baiknya pasti akan berjaya kerana keputusan yang dianalisa itu adalah output yang amat berharga.

Namun, tidak semua hasil analisa itu adalah yang terbaik andai tidak diiringi dengan ilmu. 

Sesungguhnya, ilmu yang amat berharga dari segala-gala ilmu adalah yang menyelongkar tentang kekuasaan-NYA kerana di dalamnya tersembunyi segala macam keajaiban.

Dari keajaiban itulah akan difahami segala rahsia ciptaan-NYA termasuklah mengenai kehidupan ini...

Keajaiban itu jugalah yang akan membolehkan kesemua yang tidak berupaya diterima akal berkemungkinan boleh terjadi bila mana ilmu tentang kekuasaan-NYA telah diketahui. Hakikat ini agak sukar seandainya kita masih tidak mengenali-NYA.

Berusahalah untuk mengenali-NYA dan sekiranya agak sukar melakukannya, berusahalah agar dapat merasai yang DIA sememangnya sedang memerhati setiap gerak geri.

Moga-moga dengan perasaan itu, kita akan berasa sentiasa diawasi sepanjang masa, pada setiap ketika...

(*___*)

*****


Baca selanjutnya, Klik di sini...

Wednesday, 3 February 2016

Titisan Kasih Untukmu

Saya teruja, bila menelaah komentar dari adik sebentar tadi. Terima kasihlah di atas pujian begitu. Puji-pujian seolah-olah diriku ini sudah terlalu hebat...

Realitinya, aku masih meraba-raba sambil mencari-cari cahaya NYA untuk menyuluh kehidupan ini. Adik juga perlu ketahui bahawa kita sama sahaja. Ada akal, ada mata, ada telinga, ada perasaan dan ada segala-galanya...

Cuma berbeza dari pengalaman hidup yang telah kita lalui. Sebab itu sebahagian daripada pengalaman itu, aku kongsikan di sini, di blog ini.

Semoga adik yang dikasihi kelak mengetahui secebis daripada kehidupan yang telah aku lalui Bukan berbangga, tetapi ingin berkongsi. Kalau aku berupaya menggapainya, tidak mustahil adik juga berupaya melakukan yang lebih hebat dari itu semua. Semoga kelak adik lebih cemerlang melakukannya...

Ketika ini, segala-gala yang kita tempuhi adalah nikmat kehidupan. Kehidupan untuk menguji keimanan. Sama-samalah kita tempuhi. In Sha Allah, aku mendoakan semoga adik berupaya merangkul cahaya NYA agar dapat digunakan untuk menyuluh perjalanan kehidupan ini khususnya untuk menyuluh langkah-langkah seterusnya.

Begitulah juga dengan diriku, semoga DIA, Tuhan Maha Berkuasa, kelak melimpahkan kasih sayang dan rahmat NYA kepadaku. 

Moga-moga kilauan cahaya NYA kelak berupaya merungkai satu persatu rahsia alam kehidupan yang sedang kita lalui bersama-sama ketika ini.

Kalau di awal contengan tadi, aku menyatakan aku teruja, lalu keterujaan itulah yang aku cuba usahakan agar berupaya membimbingnya supaya kelak tidak membuak-buak desakkannya. Sebab itulah aku kena berehat seketika...

Maafkanlah diriku seandainya adik menunggu-nunggu terlalu lama untuk menatap contengan dariku.

Sungguh! aku amat mengasihimu, sebab itulah malam ini, aku berusaha memberikan satu contengan, khusus untukmu...

Moga-moga contengan ini tidak diselimuti nafsu. Kepada NYA jua daku berserah. 

Ketahuilah juga bahawa keterujaan yang aku lalui sebelum ini betul-betul bernafsu gelora... Seolah-olah merasa bangga dek setitis ilmu yang diperolehi, di dalam menyelongkar rahsia kehidupan alam ini. Keterujaan ibarat gelora tsunami melambung tinggi.

Sebab itu, aku harus berehat dan berhenti seketika di dalam menghasilkan coretan di sini. Entah sampai bila, kerana begitulah kaedah yang sering aku lakukan di dalam meredakan bisikan para syaitan durjana.

Kepada adikku yang sedang memburuku, ketahuilah bahawa kita tetap serupa, usah dilihat seolah-olah diriku hebat, kerana aku juga sepertimu, ada mata, ada telinga, ada akal dan yang paling penting, ada hati untuk kita bersama-sama meneliti, akan erti kehidupan ini.

Sesungguhnya, semua yang hebat dan ajaib yang diperhati mata, adalah milik NYA selama-lamanya. DIAlah Allah SWT, Penguasa Alam Semesta.

Salam kasih buatmu, duhai adikku, yang aku kasihi kerana DIA...



Baca selanjutnya, Klik di sini...