Wednesday, 17 February 2016

Coretan Buat Adikku Atikah

Tahniah! wahai adikku Atikah kerana mempunyai keupayaan yang amat luar biasa. Wajahmu memang comel, boleh menarik perhatian ramai jejaka. Lakaran ini khusus untukmu...

Begitulah sebaiknya kita yang bergelar manusia, perlu mempelajari segala ilmu-ilmu yang diberikan oleh NYA, termasuklah bersyukur sentiasa dengan segala nikmat yang dikecapi semasa kehidupan ini. Usahlah dianggap yang pedih dan pahit itu sebagai suatu yang amat memeritkan di dalam kehidupan ini.

Berkemungkinan yang pedih dan pahit itulah kelak menyebabkan anugerah-NYA yang tidak terhingga, iaitu Syurga nan Abadi kelak diterima, InShaAllah.

Paling penting, teruskanlah melalui kehidupan ini dengan tabah serta sentiasa memohon pertolongan-NYA pada bila-bila masa sahaja kerana sesungguhnya, hanya DIA yang berkuasa di atas segala-gala rahsia kehidupan dunia ini.

Kadang kala perkara yang difikirkan oleh akal mustahil berlaku, boleh juga terjadi dek belas ehsan dari-NYA...

Sebab itu, telah diingatkan agar sentiasa memohon pertolongan-NYA. Masih ingatkah sirah para Rasul-Rasul-NYA? Nabi Musa dengan tongkatnya, nabi Yunus bersama ikan yang memakannya, Pemuda-pemuda yang ditidurkan di dalam gua sehingga seratus tahun lamanya, ini semua diceritakan agar dapat dimengerti segala keajaiban yang DIA miliki.

Kelebihan manusia berbanding makhluk-makhluk lain ciptaan Ilahi ialah kerana manusia mempunyai Akal Fikiran.

Sebab itu, usahlah disia-siakan kelebihan akal untuk berfikir mengenai pelbagai perkara. Akal yang sentiasa mengingati-NYA pasti akan sentiasa beroleh petunjuk dari-NYA. Petunjuk yang menjadi cahaya untuk menyuluh liku-liku kehidupan dunia yang penuh pancaroba.

Selain itu, ilmu-ilmu-NYA memang perlu dicari, dan dipelajari, moga-moga nanti akan beroleh kejayaan hakiki, menduduki Syurga nan Abadi.

Ketahuilah bahawa penghuni Syurga semuanya adalah yang terpilih, mereka yang memiliki budi pekerti yang tinggi. Sebab itu dinyatakan bahawa kesejahteraan kehidupan di Syurga adalah kehidupan yang Abadi...

Moga-moga, lakaran yang tidak seberapa ini dapatlah dimengerti, untuk dijadikan pedoman bersama di dalam melalui perjalanan duniawi, yang penuh ranjau, onar dan duri.

Salam penuh kasih buatmu, adikku Atikah yang dikasihi kerana DIA. Semoga Tuhan Penguasa Alam Semesta akan terus memayungkan lembayung rahmat NYA di sepanjang perjalanan kehidupanmu, juga penerokaan kehidupanku... Ameeen!


0 comments :

Post a Comment